Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersama Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah (tengah) menunjukkan buku laporan tahunan pada Majlis Pelancaran Laporan Tahunan Crinical Research Malaysia (CRM) 2021 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 21 MAC 2022.

PUTRAJAYA – Buat julung kalinya, Malaysia berjaya meningkatkan kedudukan di tempat kedua dalam rantau Asia Tenggara dalam bilangan kajian klinikal global tajaan industri.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pencapaian ini membanggakan, sekali gus memberi jaminan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyokong perkembangan penyelidikan klinikal yang ditaja dalam negara.

Menurutnya, jumlah penyelidikan yang ditaja ini melibatkan pelaburan sebanyak RM226 juta tetapi memberi sumbangan bernilai RM834 juta dalam jumlah Pendapatan Negara Kasar (PNK) negara sejak 2012.

“Saya juga amat berbangga dengan pencapaian penyelidik-penyelidik kami, antaranya yang telah diiktiraf sebagai ‘top recruiter’ global dan serantau dalam kajian antarabangsa. Tambahan pula, dengan pengiktirafan CRM sebagai organisasi dengan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2015 dan Sistem Pengurusan Anti Rasuah ISO 37001:2016, CRM kekal teguh dalam berfungsi sebagai organisasi pengurusan penyelidikan berhemah di medan antarabangsa.

“Kementerian Kesihatan, melalui CRM, kekal komited dalam menerajui usaha menyokong perkembangan penyelidikan klinikal yang ditaja ke dalam negara dengan memastikan kajian klinikal dikendalikan dengan asas kepantasan, kualiti, dan kebolehpercayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pelancaran Laporan Tahunan Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) 2021 dan Laporan Projek Realisasi Fasa 1 (P1RP) di bangunan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Selain itu katanya, Malaysia pada 2021 juga mencatat pencapaian terbaik apabila merekodkan penyelidikan klinikal tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Jelas Khairy, sebanyak 215 penyelidikan klinikal tajaan baharu direkodkan pada tahun lalu.

Tambahnya, kebanyakan penyelidikan adalah melibatkan rawatan penyelidikan dalam bidang penyakit berjangkit, onkologi, hematologi dan kardiologi.

“Separuh daripada kajian- kajian ini dijalankan di hospital-hospital dan klinik-klinik kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan, dengan selebihnya dijalankan di hospital universiti dan pusat perubatan swasta,“ katanya. – MalaysiaGazette