Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan menolak dakwaan pembangkang bahawa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menjual aset-aset miliknya di luar negara.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah menegaskan, keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran RM10,000 secara one-off hanya memberikan kesan jangka pendek kepada dana pencen itu.

“Dimana RM63 bilion akan disalurkan dan sudah pasti ini akan memberikan kesan lebih besar kerana jumlah ini akan berada dalam pasaran dan membuatkan kuasa beli rakyat  tinggi.

“Sudah pasti apabila kita menyediakan RM63 bilion, ia akan beri kesan kepada kemampuan KWSP dalam jangka pendek, itu sebabnya KWSP akan mengimbangi semula portfolio bagi mengurangkan kesan kepada prestasi pelaburan KWSP,” katanya menjawab soalan celahan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena), hari ini.

Mahfuz sebelum itu bertanyakan kepada Menteri Kewangan sama ada kerajaan akan menanggung kos pinjaman tambahan sebanyak RM830 juta setahun kerana pengeluaran RM10,000 secara one off.

“Jika dibenarkan pengeluaran ini, akan menyebabkan lebih RM63 bilion akan dikeluarkan wang KWSP dan akan bawa kepada kerajaan terpaksa jual aset-aset KWSP di luar negara.

“Apakah langkah diambil untuk mengatasi masalah ini,” soal Mahfuz.

Rabu lalu, kerajaan hari ini bersetuju membenarkan pencarum KWSP membuat pengeluaran khas sebanyak RM10,000.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan hasil kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam kalangan rakyat yang masih terkesan dari segi ekonomi, kehilangan pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

Untuk rekod, kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu. – MalaysiaGazette