BANGI: Walaupun baru enam bulan mengambil alih pengoperasian Danau Golf Universiti Kebangsaan Malaysia (DGUKM), Pusat Sukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Pusat Tanggungjawab (PTJ) berjaya menjana pendapatan sebanyak RM2.1 juta.

Menurut kenyataan Pusat Sukan UKM, hasil berkenaan akan dimanfaatkan untuk pembangunan sukan dalam kalangan penuntut seperti pembelian peralatan sukan, pengurusan aktiviti sukan penuntut dan persediaan atlet untuk mewakili universiti ke kejohanan luar seperti temasya Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) dan Sukan Malaysia (SUKMA).

Kelab Golf Danau dibawah pengurusan Unit Sukan UKM ini juga berikrar untuk membantu meningkatkan pendapatan golongan asnaf di sekitar Lembah Klang melalui sukan golf menerusi program kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS).

“(Selain itu) Bagi menyahut seruan kerajaan di dalam aspek Dasar Sukan Negara iaitu Sukan Untuk Semua, Danau Golf UKM (DGUKM) telah mengambil inisiatif untuk ‘merakyatkan golf’ dengan mengadakan perbincangan bersama KBS bagi mewujudkan program Akademi Kemahiran Belia Golf.

“Menerusi program ini, pihak Danau Golf UKM menyasarkan untuk melatih dan memberi peluang kepada sekurang-kurangnya 60 orang belia dari keluarga asnaf untuk berkecimpung dalam industri golf dan membina kerjaya mereka selain secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi imej sukan ini,” ujar kenyataan itu.

Program tersebut dijangka dilaksanakan pada Ogos depan.

Selain lapangan golf 18 lubang, DGUKM turut menyediakan pelbagai kemudahan lain seperti kolam renang awam bersaiz Olimpik, driving range, rumah kelab dan Pro Shop.

Selain itu, PTJ turut melantik seramai enam orang jurulatih bertauliah bagi membantu peminat-peminat sukan golf mempelajari atau memperbetulkan teknik pukulan mereka.

Hasil kerja keras PTJ meningkatkan reputasi DGUKM menyaksikan lapangan tersebut terpilih untuk menganjurkan pelbagai kejohanan golf.

Antara kejohanan yang telah dijayakan di DGUKM adalah PGAM Satellite Tour, Sports Excel Tournaments, Perodua World Amateur Championships, Alumni UKM Lembah Pantai dan terbaharu, Pertandingan Golf Jemputan Pasukan Majlis Dato’-Dato’ Kurnia Negeri Sembilan tahun 2022. – MalaysiaGazette