Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng (PH-Bagan) mencadangkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dibubarkan berikutan cadangan dan syor dari majlis itu tidak diendahkan kerajaan.

Beliau memberi contoh, cadangan MPN supaya pintu sempadan negara dibuka pada 1 Mac tidak dilaksanakan sebaliknya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tarikh baharu iaitu 1 April 2022 dalam program politik.

Soalan beliau bagaimanapun tidak dilayan.

Sebaliknya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid membidas Guan Eng dengan menjelaskan pembukaan pintu sempadan negara 1 Mac 2022 bukan cadangan kerajaan tetapi daripada pembangkang.

“Mengenai memulakan fasa endemik dan pembukaan pintu sempadan 1 Mac, itu pandangan YB dan ahli-ahli yang lain. Bagi kerajaan, tarikh 1 April 2022 diumumkan selepas membuat kajian dan mengambil kira hal-hal berkaitan.

“Kita mengambil kira untuk merancakkan ekonomi negara, pelancongan, kadar vaksinasi yang tinggi dan varian Omicron yang kita dapati lebih ringan kepada mereka yang lengkap vaksinasi tiga dos.

“Ini faktor yang diambil kira oleh kerajaan untuk memulakan endemik pada 1 April ini,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Parlimen hari ini. – MalaysiaGazette