Menteri di Jabatan Perdan Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad (tengah) diiringi Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr. Aminuddin Hashim (kanan) bergambar kenangan dengan Pengerusi Cahaya Pengurusan Cekap Sdn. Bhd, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin (dua kiri), Pengarah eMedAsia Sdn. Bhd, Dr. Thirunavukarasu Rajoo (tiga kanan) dan Pengarah Faz Group Sdn. Bhd, Datuk Mohamad Fardzli Idrus (dua kanan) pada Majlis Tandatangan Perjanjian Kerjasama Bagi Pengurusan Kuarantin Pekerja Asing di Hotel Mariott, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 22 MAC 2022.

PUTRAJAYA – Negara sudah bersedia untuk menerima kemasukan lebih 300,000 pekerja asing ke negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Abd Latiff Ahmad.

Beliau berkata, berikutan itu kerajaan memerlukan satu sistem saringan termasuk proses ujian, pergerakan dan penempatan pekerja asing itu akan ditempatkan.

Katanya, salah sebuah anak syarikat eMedAsia telah disenaraikan untuk bersama-sama Agensi Pengurus Bencana Negara (Nadma) bagi tujuan itu.

“Bila mereka (pekerja asing) masuk ke negara ini, mereka diuruskan dalam suasana yang amat teratur bagi memenuhi elemen keselamatan, kesihatan dan juga keselamatan.

“Jadi komitmen mereka kita sangat alu-alukan kerana Nadma akan sentiasa membantu mereka kerana Nadma sebagai regulator (pengawal selia) dan nak pastikan semua proses kuarantin dan juga ujian dikawal selia oleh Nadma,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perjanjian Komitmen Rakan Kongsi Bagi Pengurusan Pengambilan dan Kuarantin Pekerja Asing, hari ini.

eMedAsia, sebuah anak syarikat Hong Seng Consolidated Berhad, akan bertanggungjawab untuk membuat saringan ke atas pekerja asing sebaik memasuki negara ini dari peringkat pra-saringan yang melibatkan pengurusan data dan penyepaduan dengan sistem Covid-19 kerajaan.

Menurut Abdul Latiff, syarikat berkenaan juga akan membuat ujian saringan yang melibatkan pengenalpastian dan pengesahan individu untuk saringan ujian Covid-19, logistik sampel bio dan pengurusan sisa ke peringkat pasca saringan yang melibatkan pengurusan pengasingan kes positif.

Menteri di Jabatan Perdan Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad bercakap pada sidang media selepas Majlis Tandatangan Perjanjian Kerjasama Bagi Pengurusan Kuarantin Pekerja Asing di Hotel Mariott, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 22 MAC 2022.

Jelas Abdul Latiff, segala kos itu akan ditanggung majikan yang akan ditempatkan di lebih 400 buah hotel seluruh negara.

“Kos akan ditanggung oleh majikan sebab itu kita perlu berhati-hati dan pastikan kos itu berpatutan. Kemasukan mereka yang berduyun-duyun ini mesti diurus dengan baik.

“Perkara ini akan dibincangkan dengan persatuan hotel,” katanya lagi.

Kementerian Sumber Manusia memaklumkan pihaknya menerima sejumlah 313,014 permohonan pengambilan pekerja asing.

Daripada jumlah itu, 111,807 permohonan penggajian pekerja asing telah diterima bulan lalu sejak ia mula dibuka pada 15 Februari lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, daripada jumlah itu, 77,848 permohonan membabitkan penggajian pekerja dalam sektor perkilangan diikuti sektor perladangan dengan 13,119 permohonan, perkhidmatan (10,611), pembinaan (8,530) dan pertanian (1,699). – MalaysiaGazette