Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media lawatannya di Hanoi, Vietnam.

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Vietnam mencapai persefahaman supaya Mesyuarat kali ke-4 Jawatankuasa Perdagangan Bersama (JTC) diadakan dalam masa terdekat bagi menetapkan hala tuju sasaran perdagangan dua hala.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Vietnam merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam ASEAN dan ke-11 di peringkat global.

Pada 2021, perdagangan dua hala bernilai AS$16.7 bilion, peningkatan memberangsangkan sebanyak 41.6% berbanding tahun 2020.

Sebelum ini, kedua-dua negara telah menetapkan sasaran nilai dagangan AS$18 bilion menjelang 2025.

”Walau bagaimanapun, saya berkongsi pandangan bahawa nilai sasaran ini masih kecil berbanding potensi besar yang dimiliki Malaysia dan Vietnam.

” Ini mengambil kira nilai dagangan global Malaysia yang telah melepasi RM2 trilion (AS$477 bilion), sementara nilai dagangan global Vietnam hampir mencecah AS$650 bilion,” katanya dalam sidang media sempena lawatannya ke Vietnam.

Menurut beliau, sebagai langkah permulaan, kedua-dua negara telah bersetuju untuk membekalkan 300,000 tong petroleum (RON95) kepada Vietnam.

Pelaburan Malaysia di Vietnam bernilai AS$13 bilion dan merupakan pelabur asing kesembilan terbesar di peringkat global dan kedua di ASEAN.

Ismail Sabri berkata, beliau turut menjemput pelabur-pelabur Vietnam untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia.

Antaranya dalam bidang yang boleh diterokai termasuk pendigitalan, pembuatan pintar, dan keselamatan siber.

Malaysia telah pun mengadakan kolaborasi strategik di antara Institut Automotif, Robotik & IoT Malaysia (Malaysia Automotive, Robotics and Internet of Things Institute – MARii) dan FPT Software Vietnam untuk membangunkan Centre of Excellence for Future Industry (CoEFI) bernilai hampir RM100 juta dalam bidang automotif, Connected Mobility, Robotik,
Internet of Things (IoT) dan pendigitalan.

”Saya juga menyambut baik dan berterima kasih kepada FPT Software yang amat komited untuk melatih 1,000 tenaga kerja Malaysia dalam pembangunan dan kejuruteraan perisian bermula tahun ini di Kuala Lumpur dan Sabah,” ujarnya. – MalaysiaGazette