Tuan Ibrahim Tuan Man UMNO PAS MN Muafakat Nasional Bersatu PN Perikatan Nasional government
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas masih menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menerajui pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) meskipun gabungan itu gagal memenangi dua pertiga Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, soal kesetiaan Pas terhadap kepimpinan bekas Perdana Menteri ketujuh tidak timbul kerana Pas berpegang teguh kepada perjanjian.

“Kita tiada isu, kita tiada masalah, bagi Pas, kita tiada isu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai menyatakan pendirian parti itu yang tetap menyokong kepimpinan Muhyiddin meskipun gabungan parti itu tidak menang besar dalam PRN Johor, 12 Mac lalu.

Dominic berkata, parti itu tidak berputus asa dan akan terus bersama PN bagi membela nasib rakyat dalam PRN atau Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sementara itu, Tuan Ibrahim turut mengingatkan UMNO agar tidak lupa kepada persetujuan bersama ketika awal pembentukan Muafakat Nasional (MN) yang sepakat mengekalkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.

“Di peringkat awal pembentukan MN, UMNO juga pada waktu itu bersetuju untuk mengekalkan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.

“Ini boleh rujuk kepada minit mesyuarat yang ada MN pada awal-awal pembentukan kerajaan PN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette