Presiden PAPSMA, Datuk Megat Fairouz Junaidi Megat Junid (tengah) bersama Timbalan Presiden PAPSMA, Datuk Kris Foo Yin Choo (kanan) dan Setiasaha Agung PAPSMA, Dr. N. Sukumaran
Presiden PAPSMA, Datuk Megat Fairouz Junaidi Megat Junid (tengah) bersama Timbalan Presiden PAPSMA, Datuk Kris Foo Yin Choo (kanan) dan Setiasaha Agung PAPSMA, Dr. N. Sukumaran.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) menyarankan kerajaan agar memberikan kuota khas kepada ahlinya bagi membantu sejumlah majikan dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) merekrut pekerja asing.

Menurut Setiausaha Agung PAPSMA, Dr. N. Sukumaran, langkah itu wajar bagi memastikan kesemua 501 agensi berdaftar dalam Kategori C di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) memperoleh kuota tersebut bagi membantu golongan majikan berkenaan dalam urusan permohonan pekerja asing menerusi sistem FCWMS.

“Kita akan galakkan majikan PMKS itu menggunakan kuota ini yang diperoleh agensi pekerjaan swasta sebagai fasilitator untuk membantu mereka merekrut pekerja asing.

“Langkah ini sebagai usaha membantu mereka dalam menyambung perniagaan mereka atau menghidupkan semula selepas ada yang terpaksa gulung tikar akibat pandemik Covid-19 selain mempunyai masalah tenaga kerja tidak mencukupi,” katanya hari ini.

Jelas Sukumaran lagi, ramai di antara majikan gagal dalam memenuhi keperluan-keperluan yang disyaratkan dalam membuat permohonan itu, sekali gus menafikan peluang mereka untuk mendapatkan pekerja asing.

Dakwanya,  perkara itu diakui sendiri Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan bahawa terdapat majikan yang menghadapi kesukaran untuk memohon secara dalam talian menggunakan sistem itu.

Justeru itu, usaha kerajaan dengan memberikan kuota khas antara lain dapat mengelakkan mengelak mana-mana majikan yang terdesak merekrut pekerja asing menggunakan khidmat ejen-ejen haram.

Sukuram juga berkata, kewujudan kira-kira 10,000 ejen haram ini boleh menjejaskan nama baik negara apabila timbul isu yang menyalahi undang-undang sekali gus membuka risiko aktiviti pemerdagangan manusia.

“Kami berterima kasih kepada pihak menteri kerana memberi galakan kepada majikan untuk menggunakan khidmat agensi pekerjaan swasta Kategori Lesen C ini yang mempunyai wang jaminan berjumlah RM250,000 dengan kerajaan.

“Kami turut diiktiraf kedutaan asing negara sumber memberikan jaminan akan melaksanakan perkhidmatan ini secara telus, integriti dan beretika seterusnya melicinkan proses permohonan para majikan agar urusan pengambilan pekerja asing berjalan dengan baik,” katanya lagi.

Sebelum ini, Saravanan berkata, sejumlah 313,014 permohonan pekerja warga asing telah diterima kementeriannya setakat 16 Mac lalu.

Permohonan itu membabitkan sektor perkilangan (193,346), perkhidmatan (48,119), perladangan (36,950), pembinaan (27,331), pertanian (7,248) dan perlombongan dan pengkuarian (20). – MalaysiaGazette