Syed Saddiq Syed Abdul Rahman CBT
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan hari ini mengemukakan dua pertuduhan pindaan berhubung kes pecah amanah RM1 juta dan menyalahgunakan wang RM120,000 milik Armada terhadap Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan pada prosiding pengurusan kes hari ini dan Syed Saddiq, 29, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan pindaan tersebut.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Rafiq Hakim Razali yang mana lelaki itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana Armada berjumlah RM1 juta, telah melakukan pecah amanah dengan curangnya menyalahgunakan dana itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad di Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Syed Saddiq didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 April 2018 hingga 21 April 2018, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, beliau juga didakwa atas dua pertuduhan iaitu melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata tiada perubahan pada tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq tidak membantah perkara itu.

Hakim Mohamed Zaini mengekalkan tarikh perbicaraan tersebut.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 22 hari bermula 7 hingga 10 Jun, 20-22 Jun, 27 dan 28 Jun serta 4-8 Julai, 13-15 Julai dan 18-22 Julai untuk perbicaraan kes. – MalaysiaGazette