PETALING JAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memuji tindakan Sime Darby Plantation Berhad (SDP) menyahut seruan kerajaan dengan melahirkan ramai usahawan tempatan di bawah Program Pembangunan Usahawan (PPV) sejak 2014.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, lebih membanggakan apabila enam syarikat vendor Bumiputera dianugerahkan sijil tamat penyertaan setelah mengikuti dengan jayanya program tersebut sepanjang tempoh lima tahun lalu.

“Program ini menunjukkan bahawa SDP menyahut seruan kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan di bawah PPV.

“Hari ini kita lihat konsep pembangunan vendor ini amat berkesan di mana kita lihat usahawan-usahawan yang berjaya.

“SDP bukan sahaja dapat melahirkan usahawan-usahawan dalam bidang pertanian, bahkan dalam bidang pengangkutan dan teknologi.

“Kebanyakan usahawan yang berjaya ini majoriti di antara mereka memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Pembangunan Usahawan SDP 2022 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan KUSKOP, Datuk Zamri Salleh dan Pengerusi SDP, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas.

Sebanyak 11 rakan niaga baharu terpilih untuk menyertai PPV Bumiputera di bawah SDP untuk meningkatkan daya saing usahawan Bumiputera dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

Program PPV di bawah SDP untuk membantu usahawan Bumiputera bermula sejak 2014 dan sehingga kini jumlah perolehan syarikat itu melibatkan vendor-vendor Bumiputera melalui program tersebut telah melebihi RM200 juta.

Ketua Pegawai Perkhidmatan Operasi Sime Darby Plantation Berhad, Adi Wira Razak berucap pada Hari Pembangunan Usahawan Sime Darby Plantation 2022 di Ara Damansara, Petaling Jaya.
Foto: NIZAM ZAIN

Sementara itu, Ketua Pegawai Perkhidmatan Operasi SDP, Adi Wira Razak berkata, sepanjang program ini dilaksanakan, SDP juga telah mengenalpasti dua syarikat vendor Bumiputera yang akan bekerjasama dalam projek-projek penyelidikan dan pembangunan.

“Ia selaras dengan fokus SDP kepada inisiatif-inisiatif inovasi dalam usaha kami membawa perubahan kepada industri sawit negara serta mencari penyelesaian kepada pelbagai cabaran.

“Ini termasuklah masalah kekurangan pekerja yang memberi impak kepada produktiviti,” katanya.

Katanya lagi, SDP turut menawarkan tanah di bawah talian pembekalan elektrik yang boleh dimajukan usahawan mahupun peladang, khususnya B40 dengan projek-projek pertanian alternatif yang bersesuaian.

“Lot-lot tanah tersebut terletak di sekitar kawasan operasi SDP di seluruh Malaysia.

“Setakat ini, beberapa projek penanaman nenas telahpun diusahakan oleh para usahawan Bumiputera di beberapa lot tanah tersebut.

“Namun, masih terdapat lot-lot tanah yang boleh dimajukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast