Rafizi ramli
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Mohd. Rafizi Ramli yang mengumumkan untuk bertanding dalam pemilihan PKR turut mengesahkan kemahuannya untuk bertarung dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Saya tidak boleh berkata mahu membantu dan menyumbang, tetapi tidak berada dalam Parlimen.

“Namun begitu, berdasarkan umur saya, saya telah menetapkan satu tempoh masa untuk melakukan hal (politik) ini. Saya sudah berumur 45 tahun dan dianggap sangat tua dalam apa jua piawaian,” katanya dalam wawancara bersama Oriental Daily.

Mohd. Rafizi berkata, masalah dalam politik Malaysia adalah negara diterajui oleh ahli politik yang berumur dan mereka dianggap masih muda walaupun berusia 60 tahun.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau bercadang untuk bersara dalam masa 10 tahun lagi.

Mengenai perebutan jawatan timbalan presiden dalam PKR, Mohd. Rafizi berkata, soal kalah menang tidak dititikberatkan kerana apa yang beliau ingin lakukan adalah membantu menarik sokongan pengundi atas pagar dan mengembalikan sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan.

Menurutnya, selepas lama meninggalkan barisan kepimpinan PKR, beliau tidak pasti peluang kemenangan yang ada.

Dalam pada itu, Mohd. Rafizi berkata, penyertaannya dalam pemilihan bukan bertujuan mengancam Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, kepulangannya sebaliknya mengancam mereka yang berjawatan penting dalam parti tetapi tidak menunjukkan prestasi.

Beliau turut membidas mereka yang menjual nama Anwar dengan tujuan mendapat sokongan.

“Jika saya pulang sebagai ahli biasa, mereka akan sangat gembira kerana dapat mengekalkan kedudukan besar mereka.

“Apabila mereka menang dalam pemilihan, mereka berpeluang mendapat jawatan tinggi dalam kerajaan.

“Golongan ini berada di sisi Anwar sejak dua tiga tahun lalu dan mereka mencadangkan dan merancangkan kerjasama dengan UMNO selain cuba berdialog dengan Bersatu baru-baru ini,” katanya.

Mohd. Rafizi berkata, beliau mengenali Anwar sejak berumur 17 tahun dan rapat dengan Nurul Izzah Anwar, tetapi sekiranya hubungan peribadi itu menjadi asas utama, maka pemilihan PKR akan menjadi “hal ehwal keluarga” dan hubungan dengan rakyat akan terputus.

“Jika PKR merupakan parti utama negara ini dan mahu menjadi kerajaan, maka PKR harus menjadi platform untuk mencadangkan dasar yang berhubungan dengan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.