KUALA LUMPUR Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) hari ini memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk menjalin kerjasama dan perkongsian kepakaran penyelidikan terutama dalam kajian pengekspresan dan pencirian enzim lipase daripada pokok sawit (Elaeis guineensis).

MPOB dan UPSI juga akan berkongsi kepakaran penyelidikan dalam bidang lain yang akan dipersetujui bersama pada masa akan datang.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, memorandum perjanjian ini diharap dapat memberi impak yang positif kepada UPSI, MPOB dan seterusnya industri sawit Malaysia khususnya dalam memanfaat penemuan potensi enzim lipase daripada pokok sawit sebagai bio-pemangkin untuk aplikasi dalam pelbagai sektor.

MPOB mempunyai kepakaran dalam bidang bioteknologi berkaitan sawit terutamanya dalam program biak baka, program genom, program transgenik, program proteomik & metabolomik, program fenolik dan program kultur tisu dalam memajukan sektor huluan sawit negara.

Manakala UPSI pula mempunyai kepakaran dalam bidang bioteknologi mikroorganisma.

Perkongsian kepakaran terutamanya dalam bidang bioteknologi akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, katanya.

Kerjasama ini akan memberi peluang kepada pelajar Sarjana Muda UPSI dalam bidang bioteknologi untuk mendapatkan kepakaran dan menggunakan kemudahan penyelidikan di MPOB dalam melaksanakan projek penyelidikan berkaitan sawit yang akan dipantau oleh pihak MPOB.

Menurut beliau, permeteraian memorandum perjanjian pada hari ini antara usaha MPOB melahirkan penyelidik yang akan membantu dan menyumbang kepada pertumbuhan mampan industri sawit negara.

Tambah beliau, usaha sama antara MPOB dan UPSI dalam pembangunan kajian ini akan menyediakan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak, sekali gus akan meningkatkan kemajuan industri sawit negara.

MPOB menjalankan penyelidikan dalam semua aspek sawit yang menghasilkan teknologi dan inovasi bagi kemajuan industri sawit negara.

Salah satu pencapaian besar MPOB dalam bidang bioteknologi ialah penyelidikan kejuruteraan genetik yang telah menghasilkan pokok sawit transgenik (terubah suai genetik) dengan ciri-ciri baharu yang bernilai tinggi untuk meningkatkan pendapatan penanam daripada keluasan tanah yang sama. – MalaysiaGazette