MySejahtera
Kementerian Kesihatan sedang mengatasi masalah teknikal pada MySejahtera.

KUALA LUMPUR – Seorang petugas dalam Bahagian Aduan Awam DAP Kuala Lumpur, Lai Chun Chian telah menerima suntikan vaksin COVID-19 yang keempat selepas berlaku kesilapan dalam aplikasi MySejahtera.

Menurut Chun Chian, dia telah menerima makluman mengenai temujanji suntikan keempat atau suntikan booster kedua pada awal pagi pada Rabu.

Dia kemudian telah mendapatkan suntikan tersebut pada pukul 1 petang di sebuah klinik di Kepong di ibu negara dengan memilih vaksin Pfizer.

“Saya diberi temujanji pukul 2, tetapi saya sampai pada pukul 1.

“Selepas petugas menyemak MyKad dan maklumat vaksin, saya telah diberikan suntikan keempat,” katanya kepada Sinchew Daily.

Menurut Chun Chian, dia tidak mensyaki apa-apa mengenai temujanji yang diberikan memandangkan dirinya sebagai anggota barisan hadapan yang mengendalikan aduan dan perlu berurusan dengan ramai orang setiap hari.

Berdasarkan rekod, Chun Chian menerima dos booster pada 9 Disember tetapi sekali lagi menerima dos serupa pada 23 Mac.

Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan kenyataan bahawa berlaku masalah teknikal sehingga sistem melakukan temujanji suntikan booster kepada sesetengah remaja bawah 17 tahun dan juga orang dewasa yang telah lengkap menerima suntikan ketiga atau booster.

Menurut laporan Kwong Wah Yit Poh, orang ramai yang menerima temujanji untuk booster kedua atau suntikan keempat boleh mengabaikan pesanan berkenaan. – MalaysiaGazette