Salah seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba terjun ke dalam longkang untuk meloloskan diri daripada ditahan Jabatan Imigresen Malaysia semasa serbuan Op Sapu di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) sanggup terjun ‘bermandikan’ air longkang bagi meloloskan diri daripada diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah penempatan setinggan di Pantai Dalam awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, ata-rata PATI tidak memberikan kerjasama yang baik apabila terdapat sekumpulan daripada mereka cuba mengelak ditahan dengan melarikan diri di atas bumbung dan ada juga menyorok di longkang yang dipenuhi air.

Op Sapu yang bermula kira-kira pukul 1.45 pagi hingga 3.30 pagi itu memeriksa sebanyak lebih 200 warga asing.

Daripada jumlah itu, seramai 92 warga Indonesia dan seorang warga Myanmar ditahan atas pelbagai kesalahan Akta Imigresen.

Menurut Syamsul, mereka yang ditahan terdiri daripada 47 lelaki dan 33 perempuan, termasuk 10 kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.

“Dalam operasi yang kita lakukan, kesemua yang ditahan adalah dalam lingkungan usia dari setahun hingga 65 tahun dan kebanyakan lelaki bekerja sebagai buruh binaan manakala wanita sebagai pekerja pembersihan dan menerima tempahan membuat kuih,” katanya dalam sidang media selepas operasi.

Menurutnya, risikan selama dua minggu yang dijalankan selepas menerima aduan awam itu membolehkan pihak JIM melakukan serbuan di tempat yang sama kira-kira tujuh tahun lalu.

Keadaan dapurĀ  PATI yang dipercayai menjadi tempat pemprosesan membuat kuih hasil tempahan orang ramai di Kuala Lumpur malam tadi.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati kebanyakan PATI yang dipercayai membuat kuih di bilik sewa mereka dalam keadaan kotor dan menjijikkan.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Bukit Jalil untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak mempunyai pas yang sah dan Seksyen 15 (1)(c) akta yang sama iaitu tinggal lebih masa. – MalaysiaGazette