Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM900 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan untuk penyelenggaraan institusi itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) Rolling Plans 2 (RP2).

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, peruntukan itu selaras dengan komitmen kementerian yang sentiasa memberi perhatian kepada usaha menyediakan infrastruktur pendidikan selamat dan kondusif untuk kegunaaan murid serta warga sekolah di seluruh negara.

Katanya, sekolah yang masih ekonomik untuk dibaiki dilaksanakan penyelenggaraan berdasarkan permohonan dan susunan keutamaan yang dicadangkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Untuk makluman, daripada RM900 juta yang diperuntukan, sebanyak RM720 juta untuk penyelenggaraan sekolah termasuk sekolah di luar bandar dan pedalaman.

“Selain itu, kementerian juga menyediakan peruntukan khusus RM746 juta untuk menaik taraf dan membangunkan semula bangunan daif di sekolah seluruh negara,” katanya menjawab soalan Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff di Parlimen, hari ini.

Menurut Mohamad, keutamaan akan diberikan kepada mana-mana sekolah mempunyai fasiliti yang rosak teruk dan tidak selamat sekiranya tidak diselenggara.

Kata beliau, susunan keutamaan perlu ditetapkan oleh JPN, memandangkan jumlah peruntukan diterima pada tahun semasa tidak mencukupi bagi menyelenggara keseluruhan sekolah.

“Bagaimanapun, kementerian tetap komited untuk menyelenggara mana-mana sekolah yang dikategorikan dalam kes kecemasan dan boleh membahayakan murid sekiranya tidak dibaiki.

“Kementerian juga komited untuk memastikan setiap fasiliti sekolah dalam keadaan yang kondusif dan selamat,” katanya. – MalaysiaGazette