Ada yang mengedit muka Aidil sehingga menyamai muka kapten Manchester United, Harry Maguire.

KUALA LUMPUR – Penyerang Negeri Sembilan, Zaquan Adha mempertahankam kembarnya Aidil Zafuan menjadi mangsa cemuhan keterlaluan penyokong segelintir bola sepak tempatan selepas tewas kepada Singapura, pada Sabtu lalu.

Walaupun sedar persembahan Aidil adalah lumrah dalam bola sepak, Zaquan seperti  terkilan dengan keterlaluan tindakan segelintir tempatan sehingga sanggup melakukan kerja ‘edit’ atau mengubah wajah pemain.

“Life as a footballer (kehidupan seorang pemain bola sepak)… bila menang semua indah kata-kata, bila kalah siap sanggup edit muka,” tulis Zaquan melalui satu muat naik di Instagram peribadinya.

Selepas perlawanan menentang Singapura, ramai penyokong menyalahkan Aidil yang juga bek tengah dan kapten negara yang gagal membendung asakan penyerang lawan.

Dia yang berusia 35 tahun diturunkan dalam perlawanan tersebut untuk digandingkan bersama Shahrul Saad menggantikan Khuzaimi Piee yang menyerlah dalam aksi pertama berdepan Filipina.

Kedua-dua gol jaringan Ikhsan Fandi dalam perlawanan tersebut didakwa berpunca daripada kesilapan Aidil Zafuan.

Pemain pertahanan itu dikatakan hanya melihat tanpa melakukan apa-apa seperti mengawal pemain lawan mahupun cuba mengasak pemain itu untuk merampas bola sehingga menyebabkan pasukan negara mudah dihukum Singapura.

Sementara itu, tindakan penyokong dilihat agak keterlaluan kerana sanggup mengubah (edit) wajah Aidil menyamai wajah kapten Manchester United, Harry Maguire.

Bagi mereka yang tidak mengikuti perkembangan Liga Inggeris, Harry Maguire yang merupakan pemain antarabangsa England sentiasa dikritik kerana sering melakukan kesilapan mudah sehingga mengundang padah kepada Manchester United.

Merupakan pemain pertahanan termahal dunia ketika dibawa masuk ke Old Trafford, bekas pemain Leicester City itu kini dikhabarkan akan dilelong oleh kelabnya kepada mana-mana pembida yang berminat. – MalaysiaGazette