Mohd Radzi Md Jidin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan kaedah Kluster Mata Pelajaran (KMP) bagi pengambilan guru secara one-off, kata Menterinya, Senator Datuk Mohd Radzi Md. Jidin.

Beliau berkata, kaedah itu diperkenalkan bagi membuka peluang kepada lebih ramai graduan untuk memohon berdasarkan kepada pemetaan ijazah sarjana muda dengan mata pelajaran yang bersesuaian.

Katanya, graduan memiliki bidang pengkhususan utama tertentu boleh memohon untuk mengisi kekosongan mata pelajaran lain yang dikategorikan dalam kluster sama.

“Dalam aspek kriteria pemilihan pula, keutamaan diberikan kepada graduan yang mempunyai kelayakan ikhtisas pendidikan daripada universiti awam, universiti swasta dan universiti luar negara untuk dilantik secara tetap.

“Selain itu, calon juga perlu memenuhi syarat skim perkhidmatan, memenuhi padanan KMP dan berjaya dalam temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

“Temuduga tersebut menilai kompetensi umum seperti sikap, penampilan diri, pengetahuan am dan kompetensi fungsional seperti kandungan mata pelajaran dan pedagogi,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di persidangan Dewan Negara di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang meminta Kementerian Pendidikan menyatakan apakah status pelantikan guru secara one-off yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Menurut Mohd Radzi, kementeriannya telah mengumumkan pengambilan khas seramai 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 secara one-off bagi mengisi kekosongan guru di sekolah KPM.

Jelas beliau, urusan pengambilan PPP itu adalah di bawah bidang kuasa SPP selaku Pihak Berkuasa Melantik.

Katanya, pengambilan guru baharu KPM adalah berdasarkan kekosongan jawatan dan padanan opsyen mata pelajaran.

Sementara itu, kata beliau lagi, SPP telah selesai melaksanakan urusan dan tawaran pelantikan telah diumumkan secara berperingkat.

“Sehingga kini, seramai 13,770 calon berjaya ditawarkan lantikan tetap sebagai PPP DG41 oleh SPP.

“Sehingga 28 Mac lalu pula, seramai 13,255 guru baharu berjaya ditempatkan ke seluruh negara, manakala baki 515 lagi akan ditempatkan mulai 11 April ini.

“Berdasarkan status terkini, masih terdapat 4,932 kekosongan jawatan di bawah pengambilan khas ini yang perlu diisi oleh calon yang layak,” katanya.

Mohd Radzi yakin pengambilan guru secara one-off itu adalah salah satu usaha untuk mengatasi masalah kekurangan guru di seluruh negara.

Katanya, KPM akan terus meneliti dan berbincang dengan agensi pusat bagi mencari kaedah dan pendekatan terbaik bagi mengisi lebih banyak kekosongan guru dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette