Prof. Ruhanas Harun.

KAJANG – Malaysia perlu bersikap berkecuali dalam isu pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang berlarutan hingga ke hari ini dengan tidak menyebelahi mana-mana negara.

Pensyarah Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Negara Malaysia, Prof. Ruhanas Harun berkata, apa yang terbaik, kerajaan perlu mengutuk semua campur tangan asing dalam sesebuah negara tanpa memilih bulu.

Jelas beliau, ia bukan sahaja membabitkan konflik Rusia dan Ukraine, malah kutukan perlu disuarakan ke atas tindakan Amerika Syarikat yang pernah menceroboh Iraq, Libya dan Afghanistan.

“Kita sebagai negara kecil yang jauh dari Rusia, apa boleh kita buat dengan bertindak berkecuali dan tidak perlu menyebelahi mana-mana pihak.

“Cukup sekadar kita kata Malaysia mengutuk campur tangan Rusia ke Ukraine termasuk pencerobohan Amerika ke atas Libya, Iraq, dan Afghanistan,” katanya.

Beliau berkata demikian apabila muncul sebagai panel jemputan dalam program bual bicara Minda TV anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) berjudul Perang Rusia-Ukraine: Implikasi Terhadap Asia di sini hari ini.

Panel jemputan lain adalah Prof. Dr. Mohd Kamarulnizam Abdullah dari Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia dan dan Prof. Madya Dr. Haniff Ahamat dari Fakulti Undang-Undang, juga dari UKM.

Program bual bicara Minda TV anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) berjudul Perang Rusia-Ukraine: Implikasi Terhadap Asia berlangsung di Kajang hari ini.

Ruhanas menambah, selama mana krisis Rusia dan Ukraine itu akan berlarutan, ia mampu ditamatkan dengan berlakunya genjatan senjata dan pemimpin mereka bertemu di meja rundingan.

Kata beliau, sekiranya rundingan mampu diadakan namun akan terdapat ‘jarum’ yang sentiada mencucuk kedua negara itu apatah lagi Rusia dan Ukraine memiliki hubungan yang erat.

“Di antara Rusia dan Ukraine, ia ibarat hubungan Malaysia dan dan Indonesia yang mempunyai bahasa dan budaya yang sama di mana terdapat pembikinan filem Rusia yang sering dijalankan di Ukraine yang boleh disifatkan hubungan erat masyarakatnya.

“Kalau mereka berundingan dalam semangat ini, kedamaian mampu dicapai. Tapi masalahnya bagaimana hendak berdepan dengan jarum media ini.

“Apatah lagi seluruh dunia ada mentaliti apa yang buat Amerika Syarikat buat adalah baik termasuk membunuh Saddam Hussein (Presiden Iraq) dan ada justifikasi kerana kita tidak mahu ada mentaliti begitu dan apa juga tindakan perlu melihat kepada situasi.

“Apa yang boleh dipelajari, Malaysia ambil kedudukan tidak sebelahi mana-mana yang keputusan yang diambil perlu mengambil kira kepentingan negara,” katanya.

Sementara itu, hubungan Ukraine-Rusia sejak beberapa minggu lalu sudah tentu menggusarkan dunia, apabila konflik di antara kedua-dua negara itu berakhir dengan peperangan.

Menurut laporan media luar, Profesor Pengajian Keselamatan di Naif Arab University for Security Sciences (NAUSS), Riyadh, Prof Madya Dr Mizan Aslan, punca ketegangan tercetus ialah beberapa tindakan yang diambil Ukraine.

“Isu paling besar ialah hasrat Ukraine untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang merupakan satu pakatan pertahanan tentera yang dianggotai negara Eropah dan diketuai Amerika Syarikat (AS).

“Jadi, apabila mereka cuba memperluaskan gabungan NATO itu, sehingga ke wilayah-wilayah yang secara terus berhubung dengan Rusia, terutama sekali bagi negara-negara bekas Kesatuan Soviet, ia telah sampai ke peringkat menggusarkan Rusia.

“Rusia sudah habis tempoh kesabarannya dan dia mula bertindak,” jelasnya.

Tambah Mizan, lebih memburukkan keadaan apabila AS turut memainkan peranan dalam membantu Ukraine sekiranya berlakunya perang.

Beliau menyifatkan peranan beberapa negara yang dilihat sebagai kuasa besar, hanya merupakan permainan geopolitik, atas kepentingan dan agenda masing-masing. – MalaysiaGazette