Bazar ramadan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Harga kuih-muih mungkin mengalami kenaikan pada bulan Ramadan kerana harga tepung 25 kilogram tidak dikategorikan sebagai barang kawalan.

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Peniaga-Peniaga Barang-Barang Runcit Malaysia, Hong Chee Meng berkata, memandangkan kebanyakan kuih-muih Melayu adalah menggunakan tepung, maka penyelarasan harga dijangka sukar dielakkan.

Beliau berkata, harga untuk ayam, telur dan ikan pula dijangka stabil dan tidak membimbangkan kerana makanan tersebut merupakan barangan kawalan.

“Yang patut dibimbangkan adalah kenaikan harga tepung gandum yang didorong oleh perang antara Rusia dan Ukraine.

“Rusia dan Ukraine merupakan pengeluar gandum utama dunia yang menyumbang kepada 33 peratus keperluan global. Sekiranya kesan perang berterusan, maka harga tepung mungkin naik lagi,” katanya kepada China Press.

Menurutnya, keadaan itu turut memberi impak kepada harga kuih-muih termasuk makanan tradisional perayaan yang banyak menggunakan tepung.

Sebelum ini, sebuah akhbar berbahasa Melayu melaporkan peniaga bazar Ramadan di beberapa negeri terpaksa menaikkan harga juadah berikutan peningkatan kos bahan mentah.

Tindakan itu terpaksa dilakukan kerana jika tidak, pengusaha mungkin memilih tidak berniaga selepas mengambil kira faktor kos.

Sementara itu, Sinchew Daily melaporkan, penternak ayam di Manjung, Perak belum menerima bayaran subsidi yang diumumkan kerajaan kerana tersekat dalam proses dokumentasi.

Dokumen yang rumit dilaporkan menyebabkan permohonan ramai penternak ditolak terutamanya kerana gagal melepasi saringan peringkat daerah, negeri dan Putrajaya.

Kegagalan mendapat bayaran berkenaan dikhuatiri menyebabkan gangguan bekalan ayam sehingga menjurus kepada isu kekurangan menjelang perayaan Aidilfitri. – MalaysiaGazette