Hishammuddin Hussein

PETALING JAYA – Kerajaan bersetuju untuk meneruskan projek kapal tempur pesisir (LCS) bagi memenuhi keperluan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, keputusan untuk meneruskan projek LCS itu dicapai menerusi perbincangan antara jemaah menteri, Parlimen dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang diadakan beberapa kali sebelum ini.

Katanya, persetujuan juga dicapai hasil perbincangan melibatkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohamed sebanyak dua kali.

“Apa yang penting bagi kita kapal-kapal ini dapat memenuhi keperluan dan diserahkan kepada TLDM.

“Selain itu, kita mahu memastikan syarikat yang terlibat dengan pihak berkepentingan dapat pembelaan lebih-lebih lagi mereka yang bekerja sebagai vendor terdiri daripada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Malah jika ia tidak diselesaikan, mungkin menjejaskan kedudukan kewangan kita sendiri dan membawa kesan kepada pencarum Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT),” katanya pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2022, di sini, hari ini.

Projek pembinaan LCS sebelum ini berdepan kelewatan yang dipercayai berpunca daripada pihak pengeluaran produk tulen (OEM) yang memberhentikan kerja susulan masalah kewangan.

Proses perolehan LCS telah mengalami kelewatan selama 43 bulan, menyebabkan pembayaran kepada OEM tidak dibuat mengikut jadual.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, perbincangan antara beliau dan rakan sejawat dari Perancis, Florence Parly akan diteruskan pada masa akan datang bagi mendapatkan pandangan dari negara berkenaan mengenai LCS.

“Tetapi bagi saya yang lebih penting ialah untuk kita di Malaysia memutuskan hala tuju penyelesaian LCS secara holistik,” ujar beliau. – MalaysiaGazette