Aiman Hakimi Hanafi dihadapkan ke mahkamah kerana didakwa memiliki sebilah pisau 'rambo'.

MELAKA – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan memiliki sebilah pisau ‘rambo’ Ahad lalu.

Tertuduh Aiman Hakimi Hanafi, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki sebilah pisau ‘rambo’ berwarna hitam jenama SR Colombia yang diselitkan dibahagian pinggang semasa pemeriksaan polis.

Kesalahan didakwa dilakukan di hadapan rumah di Taman Terendak Permai, Sungai Udang jam 12.50 pagi, 27 Mac lalu.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang boleh dipenjara untuk suatu tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin tidak mencadangkan sebarang ikat jamin kepada tertuduh namun jika dibenarkan, beliau mencadangkan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, tidak membuat rayuan bagi kes berkenaan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 April depan sebagai sebutan semula kes dan lantikan peguam.