Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi amaran keras kepada pemain pertahanan Sabah FC, Rizal Mohd. Ghazali  agar tidak mengulangi tindakannya yang enggan melaporkan diri ke kem latihan pusat pasukan kebangsaan, Harimau Malaya pada 14 Mac lalu.

Rizal sebelum ini diletakkan dalam senarai menunggu pada asalnya telah dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon bagi menggantikan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Syahmi Safari yang meminta pengecualian untuk tidak melapor diri ke kem latihan pusat kali ini kerana menyambut kelahiran anak kembar tiganya.

Bagaimanapun, bekas pemain Kedah itu enggan melapor diri sekaligus memaksa Pan Gon memanggil seorang lagi pemain dari senarai menunggu iaitu pemain Negeri Sembilan, Ahmad Khuzaimi Piee untuk menggantikan tempat Syahmi.

“Susulan itu, surat amaran telah dikeluarkan oleh FAM kepada Mohd Rizal agar menghormati panggilan skuad kebangsaan jika tidak mahu dikenakan sebarang tindakan dan Mohd Rizal sudah pun menjawab surat tunjuk sebab kepada FAM.

Rizal Mohd. Ghazali (kiri).

“Sebagai peringatan tambahan, Mohd Rizal diingatkan agar tampil melapor diri terlebih dahulu dan mengemukakan sebab kepada pengurusan pasukan kebangsaan seandainya ada alasan kukuh untuk menarik diri daripada menyahut panggilan kem latihan pada masa akan datang,” jelas kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung FAM, Mohd. Saifuddin Abu Bakar.

Sebelum ini, media melaporkan bek kanan itu tidak dapat menyertai kem latihan kali ini kerana mempunyai masalah keluarga.

Difahamkan pemain itu perlu menjaga bapanya yang terlantar sakit di hospital berdasarkan perkongsian melalui laman Instagram sekaligus memberi bayangan antara faktor utama beliau terpaksa menolak pelawaan ketua jurulatih baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon. – MalaysiaGazette