Sulaiman (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Stesen Janakuasa Turbin Gas Kitaran Berkuasa Tinggi (CCGT) – Edra Melaka Power Plant yang terbesar di Asia Tenggara di Pengkalan Balak, Alor Gajah, Melaka hari ini.

ALOR GAJAH – Melaka kini mempunyai Stesen Janakuasa Turbin Gas Kitaran Berkuasa Tinggi (CCGT) terbesar di Asia Tenggara, Edra Melaka Power Plant (EMPP) bernilai RM6.6 bilion.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, Edra yang berkapasiti 2, 242 megawatt itu mampu membekalkan tenaga kepada lebih empat juta kediaman dalam tempoh lebih 20 tahun akan datang.

Menurut beliau, kejayaan Melaka menarik keyakinan syarikat pengeluar tenaga bebas global terkemuka, Edra Power Holdings Sdn. Bhd membangunkan EMPP melambangkan kerjasama kukuh di antara sektor awam dan swasta yang telah dipupuk sejak sekian lama.

“Edra sebenarnya telah bertapak di Melaka sejak 1997 dan sepanjang 25 tahun kerjasama strategik ni, Edra yang memiliki beberapa stesen jana kuasa di negeri ini telah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sosio-ekonomi di Melaka.

“Bekalan tenaga elektrik mampan yang dijana ini telah memacu Melaka untuk menarik pelaburan berimpak tinggi sekali gus mengubah Melaka menjadi pusat pertumbuhan ekonomi baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Stesen Jana Kuasa Edra Melaka di Pengkalan Balak, hari ini.

Hadir sama, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, Edra dilihat dapat memberi manfaat secara langsung kepada rakyat selaras dengan keperluan elektrik negeri serta pertumbuhan ekonomi dan perindustrian.

“Secara tidak langsung juga, ianya bakal menyokong usaha kerajaan untuk memulihkan dan membangunkan semula ekonomi negara pasca pandemik Covid-19,” katanya.- MalaysiaGazette