Menteri Besar Johor Hasni Mohammad Onn Hafiz Ghazi Johor state election
Hasni Mohammad

JOHOR BAHRU – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad bersedia menggalas tanggungjawab sebagai calon di peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, bagaimanapun beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi UMNO untuk membuat keputusan.

“Saya bersedia untuk berkhidmat dan meneruskan khidmat, saya serahkan kepada pucuk pimpinan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat UMNO negeri di ibu pejabat UMNO Johor di Jalan Yahya Awal di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu berkata demikian selepas ditanya sama ada beliau berhasrat untuk bertanding dalam PRU15 atau tidak.

Hasni yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor bertanding di kerusi DUN Benut sejak 2008, dan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lepas beliau mempertahankan kerusi DUN itu dengan majoriti 5,859 undi.

Sebelum itu, Hasni merupakan Ahli Parlimen Pontian setelah menang pada PRU11, yang diadakan pada Mac 2004, dan beliau dilantik menjadi Menteri Besar Johor yang ke-18 pada 28 Februari 2020. – Bernama