Arkib MG

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui telah bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad selepas seorang pemimpin kanan parti Pejuang datang menemui beliau.

Katanya, pertemuan tersebut adalah sebahagian daripada insiatif beliau untuk bertemu dengan pimpinan utama parti-parti politik dalam kerajaan dan pembangkang bagi merintis hubungan kerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Menurut Muhyiddin, inisiatif tersebut juga merupakan langkah awal untuk mendapatkan pandangan pemimpin parti-parti politik dan tiada keputusan muktamad dibuat.

“Selepas Pilihan Raya Negeri Johor, saya didatangi oleh beberapa orang pemimpin parti politik termasuk daripada Parti Pejuang.
“Mereka menyuarakan pandangan kepada saya bahawa lebih baik parti-parti selain Barisan Nasional merintis suatu bentuk kerjasama politik bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin mendakwa, pemimpin-pemimpin parti politik sedar bahawa majoriti rakyat tidak menyokong Barisan Nasional yang masih terpalit dengan imej kleptokrasi.
Tetapi, katanya, oleh kerana berlaku pertembungan banyak penjuru antara parti-parti politik yang bertanding, undi anti-BN berpecah.
Keadaan itu, menurut beliau, menyebabkan BN dapat memenangi Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor walaupun ditolak oleh majoriti rakyat.
“Mereka sependapat untuk sebolehnya mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam PRU-15 bagi menghalang golongan kleptokrat dalam BN kembali berkuasa.
“Pandangan seumpama ini juga disuarakan oleh ramai penganalisis politik,” katanya.
Semalam Dr Mahathir yang merupakan pengerusi Pejuang berkata, Muhyiddin telah datang menemuinya bagi meminta sokongan untuk kembali menjadi perdana menteri.
Pertemuan tersebut sebelum itu didedahkan oleh Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam sidang media di Terengganu. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan: