Mohd Shafie Apdal

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula mendedahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin ada menghubunginya bagi tujuan pembentukan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Namun Presiden Parti Warisan (Warisan) konsisten dengan prinsip dan tidak mahu mengulangi ‘Langkah Sheraton’ yang mana kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang kemudian diambilalih oleh gabungan Perikatan Nasional (PN).

Ketika Langkah Sheraton juga, Tun Mahathir Mohamad tidak terpilih menjadi Perdana Menteri sekali lagi sebaliknya Muhyiddin menggantikannya.

Mohd Shafie berkata, beliau hanya fokus dengan kerjasama yang mahu memberikan keutamaan kepada rakyat dan bukan politik kuasa semata-mata.

Menurutnya, kira-kira dua minggu lalu, Muhyiddin ada cuba menghubunginya namun ketika itu beliau berada di Kota Kinabalu dan dimaklumkan oleh kakitangannya di Kuala Lumpur.

“Saya sudah beritahu Muhyiddin apabila beliau berhubung dengan saya bahawa saya telah mainkan peranan saya ketika PRU-14 tetapi apabila Langkah Sheraton itu terjadi, saya teruskan perjuangan saya yang amat konsisten sejak dulu.

“Warisan kini lebih fokus dalam memperkuatkan parti di Semenanjung dan tidak hanya bergantung di Sabah sahaja. Kita juga perlu kerjasama rakan-rakan di Semenanjung, ini juga yang telah kita lakukan pada PRU-14 dan berjaya membentuk kerajaan.

“Bagaimanapun ingin saya tegaskan di sini, kita akan teliti juga kerjasama yang macam mana yang memberikan keseluruhan kepentingan itu kepada rakyat dan hanya rakyat. Kita komited dalam meletakan negara ini di peta dunia sebagai sebuah negara yang membangun, yang rakyatnya berpadu dan bersatu. 

“Karier dalam bidang politik saya sudah melebihi 30 tahun, niatdan pegangan saya pada masa ini hanyalah berkhidmat untuk rakyat sehingga ke saat akhir walaupun berdepan dengan pelbagai rintangan dan cabaran,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Semalam, Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendakwa Muhyiddin berjumpa dengannya kerana mahu beliau memberi sokongan kepadanya menjadi Perdana Menteri buat kali kedua. 

Bagaimanapun dakwa Mahathir, beliau tidak akan menyokong permintaan tersebut namun belum membuat sebarang keputusan mengenai kerjasama bagi menghadapi PRU-15. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saya tak jadi PM kerana Muhyiddin, sekarang dia minta sokongan jadi PM semula – Tun M