Khairul aming
Khairul Aming

KUALA LUMPUR – Selebriti masakan popular Khairul Aming memulakan perkongsian juadah bulan puasanya dengan resepi oatmeal berlauk untuk bersahur pagi tadi.

Tahun ini merupakan tahun kelima beliau menyajikan content masakan di media sosial untuk bulan Ramadan yang berkonsepkan 30 hari 30 resepi.

Bagaimanapun melalui format baharu, menurut Khairul Aming, lebih banyak resepi akan dikongsi dengan pengikutnya dengan content untuk tahun ini dibahagikan kepada tiga slot.

“Slot pertama anda akan disaji dengan 30 hari 30 resepi berbuka pada waktu 12.30 tengah hari.

“Berbeza sikit dengan video berbuka puasa sebelum ini kalau video berbuka tahun ini kita akan buat dia lagi panjang lagi terperinci lagi close-up, lagi berkualiti.

“Kita akan gabung macam-macam resepi seperti minuman, pencuci mulut sampailah ke kuih raya dan selepas itu kita akan pergi ke slot petang,” katanya.

Untuk pertama kali, Khairul Aming akan memperkenalkan masakan secara langsung di Instagram dan TikTok pada waktu petang.

Atas permintaan ramai buat pertama kali juga, beliau akan memperkenalkan resepi untuk sahur yang akan menjadi slot terakhir yang akan dikongsi di media sosial pada waktu malam.

Sementara itu rata-rata pengikut Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman teruja dan tidak sabar dengan penampilan resepi-resepi baharu daripada selebriti itu.

“Aku jenis tak boleh sahur nasi sebab terlalu berat, aku malas nak kunyah, idea resepi oatmeal ni sangat membantu orang macam aku,” kata Wyada Othman.

“Saya cuba masak oatmeal berlauk sebelum ini, sekarang baru saya sedar kena letak stok ayam ke dalam oatmeal untuk bagi lebih berperisa. Nampak sedap,” komen Muzhaffar Ghifari Raihan.

“Banyak content dan sumbangan Aming bulan puasa tahun ni, must be tough year for him and dalam masa yang sama must be banyak keberkatan dan kebaikan yang dia dapat,” kata Aryyaff.

Bermula dengan membuat content masakan untuk dimuat naik ke media sosial, Khairul Aming bukan sahaja dikenali sebagai chef selebriti tetapi juga usahawan berjaya.

Produk sulungnya, Sambal Nyet sebelum ini dilaporkan mencecah jualan RM7.5 juta dalam tempoh setahun.

Malah kilang pengeluaran sambal itu yang seluas 14,000 kaki persegi telahpun beroperasi.-MalaysiaGazette