Saudara-mara banduan berdiri di pusat pemeriksaan polis menunggu berita tentang keluarga masing-masing selepas rusuhan berlaku di penjara El Turi yang mana beberapa banduan terbunuh atau cedera, di Cuenca, Ecuador. foto Reuters

QUITO – Sekurang-kurangnya 12 banduan maut dan 10 lagi cedera semasa konfrontasi kumpulan di penjara di Ecuador, kata kenyataan kerajaan dalam episod baharu keganasan penjara di negara ini.

Keganasan di penjara Ecuador itu dipercayai ada kaitan dengan pertikaian kumpulan berkaitan pengedaran dadah, membunuh 316 orang tahun lalu.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Antara Amerika berkata, kejadian itu berlaku disebabkan pengabaian negara dan ketiadaan dasar yang komprehensif, serta keadaan yang buruk di dalam penjara.

Konfrontasi di penjara El Turi di bandar Cuenca itu berlaku awal Ahad apabila banduan cuba mengawal bahagian dalam penjara, kata Menteri Dalam Negeri Patricio Carrillo.

“Ada organisasi yang mahu mempunyai kuasa mutlak di bahagian dalam penjara dan terdapat beberapa sel yang telah memberontak terhadap mereka,” kata Carrillo.

Kerajaan sedang mengambil langkah untuk mendapatkan semula kawalan penjara, tambah Carrillo.

Kira-kira 800 anggota polis dan tentera berkawal di penjara, kata kerajaan awal Ahad.

Lebih kurang 90 banduan telah dipindahkan selepas kejadian itu, 10 daripadanya cedera, kata ketua penjara, Pablo Ramirez.

Setakat ini tiada laporan mengenai banduan yang melarikan diri. – Reuters (https://www.reuters.com/world/americas/least-12-dead-ecuador-prison-violence-2022-04-03/)