PUTRAJAYA – Seorang penganggur terpaksa meringkuk dalam penjara selama empat tahun kerana mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan lima tahun lepas.

Ini susulan keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonan Muhammad Hafizan Ismail untuk mendapatkan kebenaran merayu berkaitan sabitan dan hukuman penjara yang dijatuhkan terhadapnya oleh Mahkamah Majistret Marang di Terengganu.

Memandangkan kes itu berasal dari Mahkamah Majistret, Muhammad Hafizan, 26, dikehendaki mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum meneruskan rayuannya mengikut Seksyen 50(2) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin menolak permohonan itu selepas memutuskan ia tidak mempunyai merit.

Muhammad Hafizan didapati bersalah dan dihukum penjara empat tahun pada 9 Disember 2020 kerana mencabul kehormatan pelajar yang ketika itu berusia 14 tahun.

Menurut fakta kes, Muhammad Hafizan telah menarik mangsa ke dalam semak ketika pelajar itu berjalan pulang dari sekolah pada 20 Mac 2017.

Sebelum ini, dia gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi pada 14 Disember tahun lepas.

Terdahulu, peguam Muhammad Syahri Adnan berhujah bahawa terdapat persoalan undang-undang yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamuddin Abdul Rahman menggesa mahkamah menolak permohonan Muhammad Hafizan atas alasan tidak ada sebarang persoalan undang-undang yang dibangkitkan olehnya.

Beliau berkata, isu yang dibangkitkan oleh Muhammad Syahri bukanlah persoalan undang-undang sebaliknya lebih kepada dapatan fakta yang diputuskan oleh hakim Mahkamah Tinggi.

Seksyen 50(2) Akta Mahkamah Kehakiman menyatakan bahawa rayuan terhadap sebarang keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan isu jenayah yang telah diputuskan oleh Mahkamah Majistret akan terhad kepada persoalan undang-undang. – Bernama