Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dinasihatkan agar tidak mencari kesalahan orang lain untuk menonjolkan dirinya.

Sebaliknya, beliau perlu membuktikan kepada ahli-ahli partinya bahawa beliau relevan untuk menjadi seorang timbalan presiden yang berpolitik secara matang meskipun pernah mengumumkan bercuti dari arena politik setelah tewas dalam pemilihan PKR dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, Rafizi dilihat lantang menggunakan isu Sapura untuk meraih populariti politik dalam masa singkat.

“Kini, kemunculan saudara Rafizi seolah-olah canggung di dalam parti sendiri. Beliau kemudiannya menggunakan populariti Datuk Seri Najib Razak dalam isu Sapura untuk meraih populariti politik dalam masa singkat.

“Sewajarnya, saudara Rafizi tidak mencari kesalahan orang lain untuk menonjolkan dirinya. Beliau perlu membuktikan kepada ahli-ahli partinya bahawa dia adalah relevan sebagai seorang timbalan presiden PKR yang berpolitik secara matang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Shahir berkata, Rafizi juga dilihat melakukan perkara-perkara tidak masuk akal lebih-lebih lagi apabila beliau kini aktif menghentam Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung isu hudud.

Katanya, dalam isu tersebut Rafizi menggunakan sindiran-sindiran seolah-olah tandas lebih penting daripada isu hudud.

Tambahnya, hudud merupakan satu konsep dalam tatacara kehidupan umat Islam manakala, tandas pula adalah keperluan asas setiap rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik.

“Jangan disebabkan konsep hudud yang masih belum direncanakan oleh orang politik dek kerana ketidakstabilan di Dewan Rakyat, rakyat pula sengsara dengan keperluan asas yang teruk seperti tandas.

“Ini merupakan dua perkara berbeza yang saudara Rafizi gagal membuat penilaian. Jangan menghina rakyat dengan perbahasan konsep hudud dengan keselesaan dan kebersihan tandas.

“DPIM menyokong penuh usaha YB Menteri KASA dalam melestarikan tandas-tandas awam terutama di rumah-rumah ibadat dan fasiliti awam lain dalam usaha memperkasa sistem pembentungan di negara kita,” ujarnya.

Katanya lagi, di saat kerajaan terpaksa melaksanakan perjanjian persefahaman dengan pembangkang agar sistem demokrasi dan pemerintahan kerajaan tidak runtuh, isu rakyat sejagat perlu diberi perhatian.

Ujarnya, umum mengetahui rakyat mendapat tiga orang perdana menteri dalam tempoh satu penggal di saat ramai masih tercari-cari ruang dan pekerjaan untuk menyara keluarga.

Ketidakstabilan politik, keruncingan ekonomi dan penularan wabak penyakit menyebabkan rakyat sengsara.

“DPIM menggesa semua ahli politik untuk tidak menggunakan isu rakyat untuk kepentingan politik peribadi.

“Semua pihak seharusnya bersama-sama membantu rakyat dan negara agar keluar dari kegawatan ekonomi yang melanda,” tegasnya. – MalaysiaGazette