RAMADAN merupakan bulan yang amat dinanti oleh setiap umat Islam. Bulan yang penuh keberkatan ini merupakan waktu yang terbaik untuk mentarbiah diri kita ke arah kebaikan dan melipatgandakan lagi amal ibadah kita kepada Allah SWT.

Selain dari diwajibkan untuk berpuasa dan mengawal hawa nafsu, kita juga dituntut untuk memperbanyakkan amalan-amalan sunat, sebagai contoh bersahur, solat terawih, memperbanyakkan sedekah, bertadarus al-Quran serta berzikir.

Dalam mencapai kesempurnaan dalam beribadah terutamanya ketika membaca al-Quran, solat dan berzikir, adalah amat penting untuk memastikan makhraj (tempat keluarnya sebutan huruf) itu betul.

Ini kerana kesilapan dalam sebutan makhraj boleh mengubah sesuatu makna dan sekaligus mengubah maksud ayat tersebut.

Terdapat 17 bahagian yang memainkan peranan dalam makhraj, dari bahagian bibir hingga ke saluran pernafasan.

Bibir, gigi, lidah dan lelangit merupakan antara anggota yang
terlibat dalam mengeluarkan makhraj huruf yang sebenar bagi mendapatkan sebutan yang memberikan makna yang tepat.

Sebutan atau makhraj bagi huruf hijaiyah banyak menggunakan gigi hadapan dan gigi geraham dalam penghasilannya.

Penyebutan makhraj huruf yang betul akan terganggu sekiranya seseorang itu kehilangan gigi terutamanya gigi hadapan atas atau bawah.

Seperti contoh, makhraj bagi huruf fa’ ( ف ) adalah bilamana bibir bawah yang bertemu dengan gigi kacip atas, huruf dal (د ) , ta’ ( ت ), tho’ ( ط ) terhasil bila hujung lidah yang bertemu pangkal/bahagian gusi gigi depan atas.

Huruf dho’ (ظ ), tsa’ ( ث ), dzal (ذ ) pula dihasilkan bila hujung lidah bertemu dengan hujung dua gigi kacip atas.

Huruf shod ( ص ), sin ( س ), za’ ( ز ) terhasil apabila hujung lidah bertemu dengan hujung dua gigi kacip bawah dan huruf dho’ ( ض ) pula terhasil bila bahagian tepi lidah yang bertemu dengan gigi geraham atas kanan dan kiri.

Selain dari itu, bagi penyebutan huruf rumi pula, masalah selalunya berlaku pada sebutan perkataan/huruf konsonan “S”, di mana untuk penyebutan konsonan ini, hujung lidah akan menyentuh lelangit pada tulang maksila di kawasan lelangit.

Huruf-huruf lain yang dibentuk melalui sentuhan di antara lidah dan gigi serta bibir adalah [d], [n], [l], [j], [t], [s], [z], [x], [th], [ch] dan [sh].

Secara dasarnya dalam beribadah, sekiranya gigi kacip hadapan hilang dan tidak diganti, ini akan menyebabkan makhraj sebutan beberapa huruf akan terjejas dan seterusnya menjejaskan kualiti ibadah dan bacaan al-Quran seseorang.

Rawatan perlu dilakukan dengan doktor pergigian yang bertauliah bagi memastikan kualiti rawatan yang diterima adalah baik.

Ini adalah kerana reka bentuk serta kualiti gigi palsu juga boleh mempengaruhi kualiti bunyi di mana kemungkinan suara yang
dihasilkan selepas memakai gigi palsu adalah berdesir (lisping).

Sebagai contoh, sekiranya gigi palsu dibuat terlalu tebal, ketinggian gigi palsu yang salah atau susunan gigi palsu hadapan yang salah juga akan menjejaskan makhraj huruf-huruf berkaitan dan seterusnya akan menjejaskan kualiti ibadah dan bacaan al-Quran pesakit.

Selain dari itu, setelah gigi dicabut, akan berlaku perubahan kepada bentuk dan densiti tulang rahang di mana perubahan ini akan menyebabkan struktur otot-otot muka mengendur dan ketinggian vertikal muka berkurang. Kehilangan gigi hadapan pula akan menyebabkan hilangnya sokongan kepada bibir atas.

Kehilangan gigi yang tidak diganti akan menyebabkan gigi-gigi bersebelahan bergerak ke arah ruang cabutan.

Gigi-gigi bersebelahan mungkin beralih kedudukan, berpusing dari kedudukan asal dan gigi-gigi pada arkus bertentangan pula berkemungkinan akan tumbuh lebih panjang kerana tiada yang menahannya dari terus tumbuh.

Pergerakan gigi-gigi ini menyebabkan perubahan pada gigitan pesakit, di mana sekiranya teruk dan berlanjutan akan menyebabkan kesakitan semasa menggigit dan sakit pada sendi rahang.

Kehilangan gigi perlu dirawat bagi untuk mengembalikan fungsi asal mulut, dengan memastikan pesakit dapat bercakap, mengunyah dan berfungsi dengan baik.

Rawatan penggantian gigi yang hilang juga bertujuan meningkatkan estetik muka serta mengembalikan daya keyakinan diri kepada pesakit dan seterusnya memastikan kualiti hidup pesakit tidak terjejas dengan hilangnya gigi.

Secara kesimpulannya, rawatan penggantian gigi yang hilang adalah adalah harus.

Ini adalah berdasarkan fakta bahawa rawatan penggantian gigi sekiranya tidak dilakukan akan menyukarkan kehidupan seperti tidak mampu mengunyah makanan, bercakap, beribadah dengan sempurna dan sebagainya.

Rawatan penggantian gigi melibatkan proses rehabilitasi iaitu mengembalikan fungsi gigi, kecantikan rupa paras, dan juga menyempurnakan percakapan serta makhraj bagi tujuan beribadah.

Dr Wan Nor Syariza Wan Ali
Pensyarah dan Pakar Pergigian Prosthodontik, Fakulti Pergigian,
Universiti Sains Islam Malaysia.