Antara kad ATM (mule akaun) berjaya ditemui menerusi dua serbuan sekitar Kampung Melayu Majidee di sini pada Sabtu dan Ahad

JOHOR BAHRU – Satu sindiket tumpas apabila lapan lelaki bersama seorang wanita ditahan disyaki terlibat dalam penjualan kad ATM dipercayai untuk akaun keldai menerusi dua serbuan sekitar Kampung Melayu Majidee di sini hujung minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, semua suspek yang ditahan berusia antara 32 hingga 40 tahun itu berperanan sebagai ejen penjualan kad ATM..

“Kita difahamkan mereka ini mendapat bayaran RM600 untuk penjualan setiap kad ATM. Kad berkenaan akan dijual semula kepada sindiket money game atau pelaburan atas talian dengan harga lebih kurang RM1,600 hingga RM1,900 bagi setiap kad.

“Siasatan turut mendapati tujuh daripada sembilan suspek juga mempunyai rekod lampau melibatkan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Serbuan dua hari berturut-turut itu berjaya merampas 19 keping kad ATM dan enam telefon bimbit pelbagai jenama.

Raub berkata,kesemua suspek ditahan reman selama empat hari sejak semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 (Tipu) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun dan tidak lebih 10 tahun, boleh dikenakan sebatan dan denda.

Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak menyerahkan kad ATM kepada individu tidak dikenali.

“Adalah menjadi satu kesalahan sekiranya seseorang individu menyerahkan kad ATM atas urusan penjualan dan juga untuk kegiatan jenayah kepada pihak lain,” jelasnya.-MalaysiaGazette