Wilson Ong, Built Environment Sector Lead (BSI) (dua dari kiri), Datuk Nordin Murat, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Perniagaan Hartanah Dan Teknikal, UDA Holdings Berhad (empat dari kiri) dan Rofizlan Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif CIDBEC (pertama dari kanan) menandatangani MoU yang disaksikan oleh Mohd. Salem Kailany, (tiga dari kiri), Datuk Ir. Ahmad Asri Abdul Hamid, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia (dua dari kanan) dan Evelyn Chye, Pengarah Urusan BSI Malaysia (pertama dari kiri).

KUALA LUMPUR – UDA Holdings Berhad (UDA), syarikat pemaju hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan CIDB e-Construct Services Sdn Bhd (CIDBEC), sebuah anak syarikat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan British Standards Institution (BSI) Malaysia baru-baru ini.

Menerusi MoU tersebut, UDA mengeratkan jalinan kerjasama dengan CIDBEC dan BSI Malaysia dalam menyediakan latihan kepada kakitangan dan vendor berdaftar UDA supaya berkemahiran dan bersedia menggerakkan pelaksanaan Pemodelan Maklumat Pembangunan (BIM).

Walaupun kesedaran tentang BIM di Malaysia kian meningkat, pengetahuan dalam mengendalikan dan mengaplikasikan kaedah BIM dalam kalangan penggerak industri pembinaan masih rendah.

Ini dibuktikan melalui Laporan Pemodelan Maklumat Bangunan CIDB 2019 yang mana 74% daripada responden mengetahui BIM dan jumlah itu telah meningkat berbanding hanya 45% pada 2016.

Pada Julai 2021, tinjauan BIM yang UDA jalankan mendapati penggunaan BIM dalam kalangan vendornya agak rendah dan salah satu sebab kadar penerimaan rendah adalah kerana kos yang tinggi untuk latihan BIM.

Oleh yang demikian, UDA telah mengambil inisiatif mengenal pasti latihan utama yang perlu diberikan kepada setiap peserta daripada latar belakang yang berbeza. Memandangkan BIM memerlukan pendekatan menyeluruh, modul latihan yang bakal disediakan merangkumi tiga peringkat pembangunan kemahiran iaitu pemodelan, penyelarasan dan pengurusan berdasarkan standard ISO 19650.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Mohd. Salem Kailany berkata, selari dengan hasrat kerajaan mengadaptasi evolusi industri keempat (IR 4.0), UDA sentiasa mengikuti penggunaan teknologi terkini dalam pembangunan hartanahnya dan salah satu inisiatif adalah mendigitalkan industri pembangunan hartanah melalui pelaksanaan BIM.

Pelaksanaan BIM di UDA dapat membantu mengenal pasti dan mecegah percanggahan aktiviti dalam binaan pada fasa reka bentuk awal dan seterusnya dapat meminimakan ulangan kerja dan menyediakan produk berkualiti tinggi kepada pelanggan dan dalam masa
yang dijadualkan.

Sejak tahun lalu, UDA telah mula menggunakan BIM dalam sektor pembangunan hartanah di peringkat 3D. Antara projek-projek yang mengaplikasikan model ini adalah Residensi Akasia Jubilee, Dedaun Heights dan 38 Bangsar Residensi. – MalaysiaGazette