Tahun ini orang Kuantan tidak perlu lagi membuat tempahan untuk berbuka puasa di Padang MBK1 dan bebas memilih mana-mana tempat yang sesuai di padang itu.

KUANTAN – Tradisi berbuka puasa di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 diteruskan tahun ini selepas dua tahun orang ramai dilarang berbuat demikian ekoran penularan Covid-19.

Namun kali ini sesiapa yang mahu berbuat demikian dengan gaya norma baharu apabila pengunjung perlu membuat tempahan tiga hari sebelum menerusi pautan https://iftar.mbk.gov.my.

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata, mereka hanya perlu membuat tempahan petak secara percuma dan tiada sebarang caj.

Tambah Hamdan, MBK telah mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk meneruskan aktiviti iftar yang popular dalam  kalangan warga Kuantan.

“Sebanyak 140 petak telah disediakan bagi pengunjung yang berhasrat untuk berbuka puasa di Padang MBK setelah didtutup dua tahun berikutan Covid-19.

“Setiap petak memuatkan maksimum 12 orang untuk tujuan berbuka puasa yang dibuka dari jam 6 petang sehingga 8.30 malam,” kataya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Para pengunjung perlu memasuki pintu hadapan iaitu berdekatan jam besar bagi mendaftar masuk ke padang dan membuat semakan tempahan seterusnya diberikan kad bernombor petak yang disediakan.

Jelas Hamdan lagi, sekiranya pengunjung yang telah membuat tempahan tidak hadir sehingga pukul 7 malam, maka tempahan tersebut diberikan kepada mereka yang walk-in.

Tinjauan mendapati setiap petak bertanda nombor petak dan berukuran 20×20 kaki serta berjarak 10 kaki denagan petak sebelah membolehkan semua pengunjung menjaga jarak dan prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Selain itu, tong sampah disediakan setiap lorong petak bagi memastikan kebersihan di padang terjaga. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast