Noh Omar

KUALA LUMPUR – Hanya dua bank sahaja terlibat dalam perbincangan bagi proses penyusunan atau penjadualan semula pembiayaan usahawan yang terjejas akibat Covid-19.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar berkata, kedua-dua bank itu ialah Bank Rakyat dan SME Bank.

“Ada sedikit pembetulan berhubung artikel bertajuk, “MEDAC bincang, bantu susun semula pembiayaian usahawan terjejas Covid-19”.

“Untuk makluman, pihak Maybank tidak terlibat dalam sesi tersebut sepertimana yang dinyatakan dalam artikel berkenaan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Menurut Noh, cadangan bagi membantu usahawan untuk bangkit semula turut diutarakan beliau pada mesyuarat Kabinet baru-baru ini.

Katanya, ramai usahawan datang berjumpanya dan memaklumkan mereka tidak dapat membayar hutang pinjaman walaupun pihak bank menyediakan moratorium.

“Jadi, saya sudah bincang dengan dua agensi perbankan ini untuk menyusun atau menjadualkan semula pembayaran pinjaman. Dengan cara ini, kita dapat bantu dan bagi peluang kepada mereka untuk bangkit semula lebih lagi apabila sempadan negara sudah dibuka,” kata beliau.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan penggunaan akronim kementeriannya adalah KUSKOP.

Kata beliau, akronim KUSKOP telah digunakan secara rasmi menggantikan MEDAC sejak 14 Mac lalu.

“Pertukaran akronim ini selaras dengan dasar baharu kerajaan, sekali gus menyahut saranan Perdana Menteri untuk memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam setiap urusan rasmi kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette