Seorang lelaki khusuk berdoa.

RAMADAN adalah bulan yang mendidik iman dan ketundukan seorang hamba terhadap tuhannya Allah Rabbul Izzati. Ramadan adalah bulan yang menanam sifat insaniyatul insan dalam diri seorang iaitu menjadikan manusia sebagai hamba kepada tuhan.

Tanda iman seorang hamba adalah apabila ia tunduk dan patuh kepada Allah. Mengikut ajaran yang dibawa Nabi Muhammad SAW dengan sebenar-benar ikutan dan dengan penuh ketaatan.

Islam menuntut kita memberikan ketundukan kita dalam segenap aspek kehidupan bermula dengan akidah. Akidah yang jelas akan membawa hidup kita kepada jalan yang betul dalam hidup. Akidah yang benar tidak akan membenarkan kita mengikut dan menurut pemahaman-pemahaman barat yang bertunjangkan kepada humanisme.

Pemikiran yang berasaskan kepada individu dan memberikan kebebasan kepada individu dalam menentukan pilihan hidup, baik dalam beragama, berpendapat maupun dalam menuntut haknya. Pemikiran yang cuba memisahkan kebergantungan manusia dari unsur agama. Islam meletakkan kita adalah hamba Allah.

Hamba yang perlu menurut ketentuan dan ajaran Allah. Kita perlu tunduk kepada undang-undang dan peraturan Allah kerana kita telah berikrar bahawa hanya Allah yang kita sembah dan tunduk. Inilah yang dinamakan insaniyatul insan iaitu menjadikan manusia sebagai hamba kepada tuhan dan membebaskan diri dari ketundukan kepada manusia dan selain Tuhan.

Hakikat inilah yang tersirat dalam pensyariatan berpuasa. Jelas di dalam firman Allah dalam ayat 183 Surah al Baqarah bahawa ibadah puasa adalah untuk menjadikan kita insan bertakwa.

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ
Wahai orang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.ada perintah Allah SWT.

Takwa adalah ketundukan dan ketaatan terhadap perintah Allah dan menjauhi segala yang ditegah.Ibadat puasa menyediakan jiwa seseorang untuk bertakwa kepada Allah SWT dengan meninggalkan keinginannya semata-mata kerana patuh kepada perintah Allah SWT.

Tidak bertindak sesuka hati melainkan merujuk kepada al-Quran dan ajaran Nabi. Tidak menuntut kebebasan sehingga melanggar fitrah diri. Tidak melakukan maksiat sesuka hati atas nama hak asasi. Tidak cenderung kepada ajaran dan pemahaman selain Islam ajaran yang benar.

Dengan itu, akan terdidiklah jiwa orang yang berpuasa untuk meninggalkan keinginannya dengan penuh kesabaran. Seterusnya akan terdidiklah jiwa rasa kehambaan dan kepatuhan kepada Allah.

Untuk itu, hayatilah Ramadan dengan penuh ikhlas dan kesungguhan. Moga semakin tinggi nilai insaniyatul insan dan kehambaan kita kepada tuhan sekalian alam.

 

Oleh: Dr Suriani Sudi
Ketua Wanita Isma

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast