Pengarah Eksekutif MDEC Mahadhir Aziz dan Pengarah Negara Meta Malaysia Nicole Tan.

KUALA LUMPUR – Meta Malaysia menyediakan empat program peningkatan kemahiran digital untuk golongan sasar bagi kemahiran khusus yang diperlukan dalam dunia ekonomi digital.

Empat program itu adalah Meta Boost, Pasar WhatsApp, Instagram Academy dan Facebook Blueprint Higher Education Program.

Setiap satu program direka untuk mencakupi golongan berbeza termasuklah pelajar, pencari pekerjaan, perniagaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemilik perniagaan kecil atau mikro.

Menerusi kenyataan, Meta Malaysia memaklumkan, pihaknya hari ini melancarkan #JomCelikDigital Dengan Meta, inisiatif peningkatan kemahiran terbesar oleh syarikat tersebut di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur.

“Perniagaan semakin banyak menggunakan teknologi sebagai satu cara bekerja, maka akses saksama kepada peralatan digital yang bermanfaat menjadi semakin penting, anjuran yang selari dengan matlamat Malaysia untuk menjadi pusat e-dagang di rantau ini dan keseluruhan agenda rangka tindakan ekonomi digital.

“Di Meta Malaysia, kami komited dalam menyokong agenda ekonomi digital negara. Melalui #JomCelikDigital Dengan Meta, kami menyediakan akses saksama kepada sumber digital kami yang menyeluruh agar rakyat Malaysi mempertingkatkan daya saing dalam dunia digital, terutama bagi mereka yang berada di pedalaman serta golongan berpendapatan B40,” kata Pengarah Negara di Meta Malaysia, Nicole Tan.

Beliau berkata, Inisiatif #JomCelikDigital Dengan Meta itu selari dengan program MDEC, #SayaDigital yang bukan sahaja memberi individu kemahiran digital yang diperlukan tetapi juga sebagai daya penggerak yang memacu ekonomi ke arah mencapai status negara digital peringkat antarabangsa.

Ujarnya, inisiatif itu akan membantu rakyat Malaysia membina kemahiran penting di kala pengetahuan digital diperlukan dalam kesemua sektor ekonomi.

Tambah beliau, MDEC memuji dan menyokong insiatif Meta Malaysia ini yang akan menyumbang ke arah perkembangan dan penciptaan peluang pekerjaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast