Sebuah restoran di Taman Peringgit Jaya, Melaka menyediakan 'ulat' servis makanan kepada kaki ponteng puasa berakhir apabila diserbu sepasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) hari ini.

MELAKA – Tindakan sebuah restoran di Taman Peringgit Jaya di sini menyediakan ‘ulat’ servis makanan kepada kaki ponteng puasa berakhir apabila diserbu sepasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) hari ini.

Pengarahnya, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, serbuan dibuat setelah risikan sejak enam hari lalu mendapati restoran itu menjual makanan dan minuman seawal jam 8 pagi kepada umat Islam yang tidak berpuasa.

Menurutnya, restoran terbabit adalah antara 144 lokasi panas ‘port’ kaki ponteng puasa yang dikenalpasti JAIM di seluruh negeri tahun ini.

“Berdasarkan risikan kita sejak 1 Ramadan lalu, restoran terbabit menjadikan dua pekerjanya sebagai ‘ulat’ penghantar makanan yang sudah siap dibungkus kepada pelanggan yang menunggu di dalam kenderaan di luar kedai.

“‘Ulat’ ini juga bertindak sebagai tonto memastikan kegiatan mereka tidak dihidu pihak berkuasa selain memudahkan pelanggan Islam yang ponteng puasa,” katanya ketika ditemui media selepas mengetuai Op Plastik Hitam Menggelegak di sini hari ini.

Che Sukri Che Mat

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette selama satu jam di hadapan premis berkenaan mendapati, tidak kurang 30 individu dipercayai kaki ponteng puasa menggunakan khidmat ‘ulat’ berkenaan.

Taktik digunakan, mereka akan berhenti di luar restoran, sebelum ‘ulat’ berkenaan menghampiri kenderaan dan menghantar makanan yang dipesan terlebih dahulu melalui panggilan telefon.

Tinjauan di bahagian dapur restoran berkenaan mendapati, terdapat belasan plastik minuman digantung dan diikat bersama straw dipercayai bagi memudahkan pekerja menguruskan pesanan buat kaki ponteng puasa.

Tinjauan di bahagian dapur restoran mendapati, belasan plastik minuman digantung dan diikat bersama straw dipercayai bagi memudahkan pekerja menguruskan pesanan buat kaki ponteng puasa.

Mengulas lanjut, Che Sukri berkata, restoran terkenal itu kerap melakukan kesalahan sama sejak lebih lima tahun lalu dan diberikan amaran termasuk saman namun terus mengulanginya.

“Susulan itu, hari ini kita mengeluarkan tujuh notis kepada tujuh pekerja termasuk pemilik restoran ini berusia antara 24 hingga 63 tahun di bawah Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 (Enakmen 6).

Penguatkuasa JAIM mengeluarkan notis kepada tujuh pekerja dan pemilik restoran berusia antara 24 hingga 63 tahun di bawah Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 (Enakmen 6)

“Mengikut Seksyen 49 Enakmen 6, mereka yang ditahan kerana menjual makanan di bulan Ramadan kepada umat Islam yang berpuasa boleh didenda RM1,000 atau enam bulan penjara bagi kesalahan pertama, manakala denda RM2,000 atau setahun penjara bagi kesalahan kedua atau kedua-duanya sekali.

“Semakan awal turut mendapati, empat daripada mereka adalah bukan Islam dan kesemuanya telah diminta hadir di Bahagian Penguatkuasa JAIM, Isnin ini untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette