Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah berjaya membuktikan tuntutan saman sivilnya terhadap Datuk Raymond Yap Wee Hin (Raymond Yap), iaitu bekas Timbalan Pengerusi Patimas Computers Bhd (Patimas), atas kesalahan dagangan orang dalam.

Dalam saman yang difailkan pada 2020, SC mendakwa Raymond Yap telah melanggar seksyen 188(2)(a) dan (b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) apabila dia melupuskan sejumlah 43,823,600 saham Patimas yang dipegang oleh Law Siew Ngoh, bekas Pengarah Urusan Patimas, dari Jun hingga Julai 2012.

Tertuduh telah melakukan pelanggaran ini ketika mempunyai maklumat material bukan awam yang berkaitan dengan pertanyaan dan isu audit mengenai transaksi mencurigakan antara Patimas dan penghutang utamanya.

Perkara tersebut telah dibangkitkan dan dibincangkan oleh Ernst & Young (EY) Malaysia, juruaudit luar Patimas semasa pertemuan dengan pihak pengurusan syarikat.

Berikutan itu, pada 31 Julai 2012, Lembaga Pengarah Patimas mengumumkan kepada Bursa Malaysia bahawa Patimas tidak akan dapat mengeluarkan Penyata Kewangan Teraudit Tahunan pada 31 Julai 2012 bagi tempoh kewangan dari 1 Januari 2011 hingga 31 Mac 2012 kerana penemuan/pertanyaan audit utama yang belum diselesaikan.

Semasa membenarkan tuntutan SC, Pesuruhjaya Kehakiman Adlin Abdul Majid mengisytiharkan bahawa Raymond Yap telah melanggar undang-undang sekuriti yang berkaitan dan mengarahkannya membayar sejumlah RM3.28 juta yang merupakan jumlah yang sama dengan tiga kali ganda kerugian yang dielakkan olehnya akibat
dagangan orang dalam tersebut.

Selain itu, Raymond Yap juga diperintahkan membayar penalti sivil sebanyak RM1 juta kepada SC dan dilarang menjadi pengarah mana-mana syarikat awam tersenarai bagi tempoh lima tahun bermula 7 April 2022. SC juga diberikan RM100,000 sebagai kos. – MalaysiaGazette