Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun. foto HAZROL ZAINAL, 12 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengesahkan beliau akan bertanding  Ketua Cabang Port Dickson pada pemilihan PKR.

Katanya, beliau mahu semua ahli PKR tidak menimbulkan ketegangan dan bergaduh sehingga menjejaskan keharmonian parti. 

“Kita maklum pertandingan ini dalam kalangan Keadilan, untuk pilih Cabang dan Pusat. Demokrasi kita ada, pertandingan ini akan berjalan dalam keadaan kekeluargaan dan saya sangat berharap bahawa selepas selesai pemilihan, kita kembali duduk sebagai satu pasukan semula.

“Memang adat dalam pertandingan, ada yang menang dan ada yang kalah. Lepas keputusan biarlah kita semua kembali bertaut seperti dulu,” kata Menteri Besar Negeri Sembilan itu, hari.

Sebelum ini Aminuddin pernah menimbulkan tanda tanya apabila beliau dikatakan akan berpindah keahlian dari Cabang Tampin ke Cabang Port Dickson yang mana beliau menyifatkannya perkara biasa dan tiada campur tangan kepimpinan parti di peringkat Pusat.

Beliau turut mengesahkan jawatannya sebagai Ketua Cabang Tampin gugur dan kini dipangku oleh Timbalan Ketua Cabang Tampin sehingga pemilihan parti.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Datuk M. Ravi mengesahkan beliau akan mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Port Dickson.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan itu berkata, sebagai ahli cabang sejak 1999, beliau bersedia berdepan calon lain untuk mengekalkan jawatan tersebut, termasuk Aminuddin.

Pencalonan pemilihan PKR 2022 bermula hari ini dan esok, membabitkan jawatan di peringkat cabang di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr. Zaliha Mustafa berkata, pencalonan akan dilaksanakan secara dalam talian dan serentak dengan itu kempen pemilihan secara rasmi bermula.

“Bagaimanapun pusat pencalonan secara fizikal akan dibuka sepanjang tempoh berkenaan bagi membantu anggota yang ingin mencalonkan diri mereka melalui aplikasi ADIL,” katanya.

Zaliha berkata, bagi pencalonan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), ia akan dilaksanakan 11 April dan pusat pencalonan dibuka di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya kecuali di Sabah dan Sarawak, yang mana calon boleh hadir ke pusat pencalonan disediakan di dua negeri itu. – MalaysiaGazette