Takiyuddin Hassan (paling kanan) dan Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) diiringi Baharin Din (berbaju putih kiri sekali) melihat secara dekat antara kawasan terjejas akibat tanah runtuh ketika meninjau kerja-kerja membaik pulih Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM) pada 7 April lalu.

KUALA LUMPUR – Fasa kedua pemulihan operasi Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM) di Tasik Kenyir, Terengganu, yang terjejas akibat banjir pada Februari lalu dijadualkan selesai Jun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Baharin Din berkata, kerja pemulihan tersebut akan diikuti dengan fasa ketiga ke arah pemulihan operasi yang keseluruhan proses pemulihan mengambil masa hampir enam bulan dalam usaha memastikan keselamatan stesen berada dalam keadaan terkawal sepenuhnya.

Menurutnya, langkah pemulihan bagi mengembalikan operasi SJSM turut merangkumi penilaian impak kejadian kepada struktur empangan.

”Penilaian mendapati integriti struktur empangan kekal kukuh dan selamat. Keadaan di sekitar Tasik Kenyir juga dijamin selamat,” katanya.

Tambah beliau, TNB turut endapatkan khidmat pakar perunding luar untuk membuat penilaian terperinci integriti empangan selain bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memantau keadaan cerun termasuk lima lokasi tanah runtuh di laluan menuju SJSM.

SJSM yang mempunyai empat unit turbin hidro untuk menjana 100MW setiap satu adalah satu daripada dua loji penjanaan di Kenyir. Sebuah lagi logi dikenali sebagai Stesen Janakuasa Hulu Terengganu (SJHT).

Tasik Kenyir mempunyai keluasan 36,900 hektar dengan keluasan kawasan tadahan 260,000 hektar.

Terdahulu, TNB dalam kenyataan mediannya berkata,  Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang meninjau kerja-kerja membaik pulih Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM) pada Khamis lalu berpuas hati dengan usaha TNB memulihkan operasi stesen itu.

Stesen berkenaan dihentikan sementara operasinya sejak 27 Februari selepas dilanda tanah runtuh akibat hujan lebat berterusan selama 72 jam.

Usaha memulihkan operasinya berjalan lancar dengan kini memasuki fasa pemulihan kejuruteraan dan beroperasi semula menjelang hujung tahun ini.

”Selepas 40 hari daripada kejadian, saya melihat pemulihan telah dilaksanakan secara terbaik dan dengan pantas. Ianya dilaksanakan melalui banyak peringkat-peringkat yang perlu disegerakan,” katanya yang turut meninjau kawasan SJSM dan Kenyir dari udara.

Turut sama dalam lawatan itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din dan Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Datuk Nor Azman Mufti.

Beliau kemudian melawat beberapa lokasi penting termasuk jambatan Bailey berhampiran stesen, menara penghantaran, kawasan empangan serta pencawang masuk utama.

Takiyuddin turut memuji kemampuan TNB memastikan pembekalan tenaga elektrik di Terengganu tidak terjejas sepanjang usaha pemulihan.

SJSM dihenti tugas sementara berikutan menara penghantaran voltan tinggi 132kV yang menyalurkan bekalan elektrik kepada Grid Nasional tumbang pada 27 Februari akibat kejadian tanah runtuh dalam keadaan hujan lebat luar biasa bermula 25 Februari.

Kejadian tanah runtuh itu turut memutuskan perhubungan jalan keluar-masuk ke SJSM, meruntuhkan sebuah jambatan dan diikuti aliran mendapan yang membanjiri kawasan stesen.

Sebaik kejadian, TNB telah mengaktifkan pelan tindakan kecemasan termasuk penyelarasan dengan pihak berkepentingan, agensi kerajaan dan jabatan-jabatan lain.

Semua kerja-kerja fasa pertama termasuk pembersihan akses ke stesen, pembersihan bahan mendapan termasuk sisa kayu dan keladak telah dilaksanakan selain memulakan pemeriksaan struktur empangan dan perkakasan, keselamatan cerun dan kawasan penampan serta alur limpah.

Paras air sungai di hilir Empangan Kenyir juga sudah kembali normal. –  MalaysiaGazette