Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) sebagai parti utama yang membentuk Kerajaan Persekutuan hendaklah dirunding terlebih dahulu dalam menentukan tarikh pembubaran Parlimen.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Perkara itu dizahirkannya ketika pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika program berbuka puasa degnan beberapa kepimpinan PN, semalam.

Turut hadir adalah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden STAR Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden Gerakan, Senator Datuk Dr Dominic Lau.

“Dalam pertemuan ini YAB Perdana Menteri menekankan hubungan kerjasama dengan Perikatan Nasional dalam Kerajaan Persekutuan dan memberikan komitmen untuk berunding dengan PN dalam menentukan dasar-dasar utama negara.

“Saya juga antara lain mengingatkan Perdana Menteri bahawa PN sebagai parti utama yang membentuk Kerajaan Persekutuan hendaklah dirunding terlebih dahulu dalam menentukan tarikh pembubaran Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, mereka turut membincangkan hal ehwal semasa yang berkaitan dengan kepentingan rakyat dan negara.

Ismail Sabri, kata Muhyiddin, menekankan hubungan kerjasama dengan Perikatan Nasional dalam Kerajaan Persekutuan dan memberikan komitmen untuk berunding dengan PN dalam menentukan dasar-dasar utama negara.

Mac lalu, Muhyiddin berkata, Ismail Sabri tidak boleh sewenang-wenangnya membubarkan Parlimen semata-mata memberi laluan kepada pelaksanaan PRU15 dalam masa terdekat.

Ini kerana, jelas beliau, perdana menteri perlu menghormati beberapa perkara yang dipersetujui antara PN dan Barisan Nasional (BN) termasuk soal pembubaran Parlimen.

Beliau berkata, persetujuan antara kedua-dua belah pihak itu untuk mewujudkan situasi yang agak stabil supaya politik negara tidak berdepan dengan isu lain seperti masalah Covid-19. – MalaysiaGazette