Foto Instagram Siti Nurhaliza.

KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza terus disenaraikan buat kali tujuh kali berturut-turut dalam The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims.

Disenarai sejak 2016, penyanyi Jerat Percintaan itu diletakkan di bawah kategori seni dan budaya sejak tujuh tahun lalu.

Usahawan jenama SimplySiti itu berkongsi rasa syukur menerusi Instagram (IG).

“Alhamdulillah..semua ini daripada Allah. Sebagai hamba-Nya, semua yang baik itu daripada Allah, yang lemah dan kurang itu daripada diri saya sendiri,” tulis ibu kepada Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa.

Foto Instagram Siti Nurhaliza.

Baru-baru ini, portal The Artist Museum berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat meletakkan Siti pada tangga ke-27 daripada 100 penghibur terkemuka dunia.

Menerusi akaun Twitter @theartistmuseum, Siti pernah menggenggam 329 anugerah dari dalam dan luar negara sepanjang hampir 26 tahun bergelar anak seni.

Siti disenaraikan bersama barisan selebriti antarabangsa seperti Michael Jackson, Beyonce, Taylor Swift, BTS, Justin Bieber, Whitney Houstan, Lady Gaga dan ramai lagi.

Di bawah kedudukan Siti pula, Justin Timberlake, Usher, Nicky Minaj, Katy Pery, Jolin Tsai, Celine Dion, Bruno Mars, Selena Gomez, Alicia Keys dan Christina Aguilera.

Untuk rekod, penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu menjadi artis yang paling banyak menerima anugerah sehinggakan rekodnya disenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) pada 2001 dan kekal pemegang rekod sehingga kini.

Berdasarkan catatan buku The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims 2022 yang diterbitkan oleh Royal Islamic Strategic Studies Centre, Amman, Jordan itu, Siti tersenarai bersama individu berpengaruh seluruh dunia termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain Siti, seorang lagi anak seni Malaysia turut disenaraikan adalah penyanyi nasyid dan komposer, Hafiz Hamidun. – MalaysiaGazette