Aidil Sharin Sahak. Foto Facebook KDA FC.

KUALA LUMPUR – Pengendali Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak pula mahu pasukan segera melupakan kekalahan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya sambil menyifatkan Selangor beraksi dengan lebih baik semalam untuk meraih tiga mata.

Tegas beliau, anak buahnya tidak melakukan tugas yang baik di bahagian pertahanan dan akhirnya menghukum pasukan.

Namun beliau mengakui Kedah dapat meningkatkan permainan dengan lebih baik di separuh masa kedua.

“Pemain berjaya mendominasi dan cuba untuk memburu gol, tetapi mereka (Selangor) terus menghukum kita dengan gol ketiga dan keempat, jadi ini yang kita perlu belajar dan lupakan apa yang berlaku di sini.

“Kita kena akui bahawa Selangor beraksi dengan lebih baik, jadi saya ambil tanggungjawab atas kekalahan ini dan ia bukan persembahan terbaik daripada kami di bahagian pertahanan”, katanya.

Keputusan kelmarin. menyaksikan Selangor akhirnya berjaya meraih kemenangan pertama sekaligus lebur rekod tanpa kalah Kedah sejak tiga perlawanan lepas.

Dalam dua lagi perlawanan yang berlangsung semalam pula menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) menang 2-1 ke atas Terengganu FC manakala Sarawak United FC pula tewas 0-1 kepada Sabah FC. – MalaysiaGazette