Businessman, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee pleads not guilty to 26 counts of money-laundering charges amounting to RM36 million at the Shah Alam Sessions Court, Selangor. PIX: MOHD ADZLAN / MalaysiaGazette / 12 APRIL 2022.
Businessman, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee pleads not guilty to 26 counts of money-laundering charges amounting to RM36 million at the Shah Alam Sessions Court, Selangor. PIX: MOHD ADZLAN / MalaysiaGazette / 12 APRIL 2022. Ahli Perniagaan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee dibawa oleh pegawai polis selepas mengaku tidak bersalah terhadap 26 pertuduhan berkaitan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM36 juta ketika di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 12 APRIL 2022.

SHAH ALAM – Ahli perniagaan dalam buruan, Nicky Liow Soon Hee didakwa di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 26 pertuduhan kerana terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah lebih RM36 juta, antara 2016 hingga 2021.

Bagaimanapun dia yang lebih dikenali sebagai Nicky mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas kesemua 26 pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Helina Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, Nicky antara 2016 hingga 2021 di Malayan Banking Berhad, Cawangan Bandar Ampang secara langsung melibatkan diri dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM36,892,424.30 ke dalam akaun Maybank miliknya.

Nicky, 34, didakwa melakukan kesalahan pengubahan wang haram di bawah perenggan 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) Akta yang sama.

AMLATFPUAA memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang 15 kali jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi.

Terdahulu Timbalan Pendakwaraya Selangor, Rozaliana Zakaria tidak menawarkan sebarang jaminan susulan sebelum ini nama Nicky telah disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan notis merah juga dikeluarkan Polis Antarabangsa (Interpol).

Selain itu, tertuduh tidak layak diberi jaminan susulan risiko untuk melarikan sangat tinggi, apatah lagi lebih setahun menjadi buruan polis dan baru semalam menyerahkan diri untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

“Pelbagai usaha untuk mengesan tertuduh termasuk siaran media, notis merah dan laman sesawang Interpol.

“Notis merah Interpol dikeluarkan terhadap Nicky pada 20 April 2021 dan orang dikehendaki PDRM pada 30 April 2021.

“Sepanjang tempoh itu, tertuduh tidak pernah muncul di mana-mana balai polis berhampiran selain semalam,” katanya.

Bagaimanapun Peguam Datuk Rajpal Singh berkata, walaupun AMLATFPUAA tidak memperuntukkan jaminan namun ia terpulang kepada budi bicara mahkamah untuk berbuat demikian.

Tambahan pula, tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai dua anak yang masih kecil, berusia dua tahun setengah dan satu tahun.

Mengulas soal melarikan diri, Rajpal menjelaskan, jika anak guamnya mahu berbuat demikian, apa gunanya dia menyerahkan diri secara sukarela di Bukit Aman semalam untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

“Kalau tertuduh nak melarikan diri, sebelum dia pergi ke Bukit Aman semalam, tertuduh memang ingin hadapi apa yang didakwa ke atasnya.

“Seseorang tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah.

“Memang dia tidak akan melarikan diri daripada pertuduhan kerana dia percaya tidak melakukan apa-apa kesalahan. Tiada bukti dia melarikan diri, selama ini dia sepanjang masa berada di Malaysia,” katanya.

Sebagai jaminan anak guamnya tidak melarikan diri dan boleh menjamin kehadirannya di mahkamah, Rajpal mencadangkan Nicky diberikan jaminan RM500,000 dengan dua penjamin, melaporkan diri setiap minggu di Balai Polis berdekatan dan menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah.

Setelah mempertimbangkan hujah pihak pendakwaan dan pembelaan, Hakim Helina membenarkan Nicky diikat jamin sebanyak RM1 juta dengan dua penjamin.

Hakim Helina juga memerintah tertuduh melaporkan diri di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dua kali sebulan dan pasport perlu diserah kepada mahkamah.

Mahkamah Sesyen Shah Alam turut menetapkan 26 Mei 2022 sebagai tarikh sebutan kes tersebut. – MalaysiaGazette