Tiga wanita antara lapan warga asing mendalangi jenayah seluk saku di ibu negara tumpas. Gambar ihsan IPD Dang Wangi.

KUALA LUMPUR – Kegiatan jenayah seluk saku yang giat aktif didalangi warga asing di ibu negara tumpas dengan tertangkapnya lapan suspek baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, bertindak atas risikan dan maklumat polis, pada Ahad lalu jam lebih kurang pukul 8 malam, sepasukan anggotanya berjaya menangkap kelapan-lapan suspek.

“Mereka terdiri daripada lima lelaki dan tiga wanita disyaki terlibat dalam jenayah seluk saku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Noor Delhan, kesemua suspek adalah berusia di antara 22 tahun hingga 38 tahun.

Hasil daripada kejayaan tangkapan suspek itu, pasukannya telah merampas dua buah telefon bimbit jenama iPhone 13 Pro dan tiga buah telefon bimbit jenis Samsung Galaxy Z Fold 3.

Beberapa telefon bimbit iPhone 13 Pro dan Samsung Galaxy Z Fold yang dirampas dari geng seluk saku warga asing. Gambar Ihsan: IPD Dang WangiMenurutnya, pada 10 April lalu, Bahagian Siasatan Jenayah ibupejabat Polis Daerah Dang Wangi telah menjalankan siasatan berkenaan kes kehilangan dua kad kredit di sebuah premis di Jalan Ampang.

“Hasil siasatan yang dijalankan di tempat kejadian mendapati kehilangan kad kredit tersebut berlaku akibat daripada diseluk saku pada 9 April 2022 kira-kira pukul 6 petang.

Antara barang pakaian berjenama yang disyaki dibeli sindiket seluk saku menggunakan kad kredit yang dicuri sebelum diberkas polis. Ihsan: IPD Dang Wangi

“Kita juga berjaya merampas tiga pasang kasut pelbagai jenama, 10 helai baju pelbagai jenama, sebuah topi jenama Armani Exchange, dua buah bag silang jenama Tommy Hilfiger dan Puma, sehelai pelitup muka jenama Puma, 24 alatan mandian pelbagai jenama, dua helai seluar pelbagai jenama, dua tali pinggang jenama Uniqlo dan lapan keping resit pembelian kad kredit.

“Kesemua barangan yang dirampas dianggarkan bernilai RM37,000.00 dan disyaki dibeli suspek-suspek dengan menggunakan kad kredit yang diseluk saku itu.

“Kesemua suspek kini telah direman dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh atau dengan denda atau dengan kedua-duanya jika disabitkan kesalahannya.- MalaysiaGazette