Covid-19 positive cases
Petugas kesihatan melakukan kerja-kerja ujian saringan Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Klinik Anda Kota Damansara, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 09 FEBRUARI 2022.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Ujian RTK- Antigen kini boleh dilakukan kendiri dengan penyeliaan pengamal perubatan secara maya.

Menurut Menteri Kesihatan,Khairy Jamaluddin, perkhidmatan ini merupakan inisiatif tele-perubatan yang ditawarkan secara digital tanpa memerlukan individu hadir secara fizikal ke fasiliti kesihatan.

Jelasnya, langkah ini membolehkan pengguna mendapatkan keputusan ujian RTK Ag yang disahkan pengamal perubatan dengan lebih cepat tanpa perlu ke fasiliti kesihatan.

“Perkhidmatan ini berdasarkan kepada dokumen yang dikeluarkan oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC) iaitu Malaysian Medical Council Advisory on Virtual Consultation (during the COVID-19 pandemic).

“Ini akan menjimatkan masa, kos serta mengurangkan risiko jangkitan kepada orang lain,” katanya ketika sidang media yang berlangsung di Parlimen, hari ini.

Khairy berkata, seliaan secara maya bagi ujian ini hanya boleh dilakukan oleh pengamal perubatan swasta yang berdaftar dengan MMC.

“Perkhidmatan maya dilaksanakan secara langsung (live) dan bukannya panggilan video Whatsapp bagi mengelakkan berlaku penipuan dalam keputusan ujian sekiranya rakaman video dibenarkan dan pelaporan keputusan ujian RTK Ag Covid-19 hendaklah menggunakan platform e-Covid,” jelasnya.

Beliau berharap, inisiatif baharu ini akan memudahkan masyarakat Malaysia dan pengembara melakukan pengujian Covid-19 serta keputusan yang telah ditentusahkan oleh pengamal perubatan.- MalaysiaGazette