Penggunaan katil bagi kes kritikal di seluruh negara semalam menunjukkan bawah 50 peratus.

KUALA LUMPUR – Semua hospital di seluruh negara tidak menunjukkan peningkatan penggunaan katil untuk kes kritikal jangkitan baharu positif Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU), semalam.

Ini berikutan angka kes baharu jangkitan virus itu menurun kepada 6,623 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, penggunaan katil bukan ICU menunjukkan tiada negeri direkodkan peratusan pengisian, kecuali Perak yang mencatatkan pengisian di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

Noor Hisham Abdullah Sarawak state election Covid-19 cases
Dr Noor Hisham Abdullah

Kata beliau, dengan kes baharu yang rendah itu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 4,389,025 kes.

“Kes sembuh mengatasi kes baharu iaitu 11,233 kes dengan 4,249,704 kes kumulatif,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan atau ventilator juga menurun kepada 76 pesakit dengan peratusan penggunaan 10 peratus.

Katanya, sebanyak 241 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital dengan 106 kes adalah kategori 3, 4, dan 5 serta 135 kes adalah kategori 1 dan 2.

Selain itu, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan daripada 6,623 kes harian yang dilaporkan, kategori 1 sebanyak 2,768 kes, kategori 2 (3,813 kes), kategori 3 (15 kes), kategori 4 (lapan) dan kategori 5 (19 kes).

Manakala daripada 42 kes kategori 3, 4, dan 5 yang baharu dilaporkan sehari sebelum itu ialah 11 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi dan 14 kes telah menerima dua dos vaksin, tetapi belum menerima dos penggalak.

Sebanyak 17 kes telah menerima dos penggalak, 25 kes berumur 60 tahun dan ke atas serta 23 kes mempunyai komorbid. – MalaysiaGazette