KUALA LUMPUR – Selain bergelar penyanyi, Hazama kini dilihat aktif dalam bidang lakonan.

Malah beliau baru-baru ini mendedahkan hasrat untuk menjadi seorang pengarah dan kini dalam fasa untuk menimba seberapa banyak ilmu dan pengalaman dalam bidang tersebut.

“Saya memang ada impian nak jadi seorang pengarah, sebab itu saya berlakon. Saya tak ada peluang nak masuk universiti untuk belajar, jadi apabila berlakon ia adalah peluang saya belajar banyak perkara.

“Nanti kalau saya dah paham cara kerja dalam lakonan, barulah saya bersedia untuk jadi pengarah. Sasaran saya adalah ketika usia saya 40 tahun,” katanya ketika ditemui semasa majlis berbuka puasa anjuran Hot FM dan Molek FM, baru-baru ini.

Katanya, setiap kali berlakon, beliau akan menggunakan peluang untuk menimba ilmu daripada pengarah.

“Kalau kita lihat macam Mawi sendiri, dia pun sebelum ini tak ada pengalaman. Namun, dia tetap berjaya menghasilkan filem pertamanya, Tiada Tajuk beberapa tahun lalu.

“Jadi, saya fikir kalau Mawi boleh buat, kenapa saya tidak boleh pula. Itu yang telah mendorong saya untuk bergelar seorang pengarah,” tambahnya.

Mengulas mengenai karakter lakonan, Hazama berkata beliau lebih selektif dalam memilih tawaran yang bersesuaian dengan dirinya.

“Kalau boleh saya tak nak sekadar tangkap muat, malah gandingan pelakon wanita pun saya agak memilih. Bukan soal cantik atau tidak, tetapi sama ada heroin itu serasi tak dengan diri saya.

“Jika heroin tu terlalu cantik pun macam tak sesuai pula dengan saya. Lagipun saya ni bukanlah dalam kategori pelakon kacak,” jelasnya. – MalaysiaGazette