Noh menyampaikan sumbangan kepada anak yatim dalam Program Semarak Ramadan YBR, semalam.

PETALING JAYA – Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Gerakan Mahasiswa Tanjong Karang (GEMA) menganjurkan Program Semarak Ramadan dalam usaha menyantuni golongan asnaf dan anak yatim, di samping mengeratkan silaturahim antara organisasi luar.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, program itu adalah inisiatif dalam memberi sedikit kebahagiaan kepada mereka yang tidak bernasib baik tatkala berhadapan dengan pasca pandemik Covid-19 serta memberi sinar keceriaan dalam menyambut Ramadan.

“Saya berharap lebih banyak program begini diadakan yang dapat merapatkan ukhuwah antara organisasi luar dengan masyarakat sesama bangsa dan agama,” katanya sempena Program Semarak Ramadan di Tanjong Karang, dekat sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Mohd Shahrizal Sahri dan Pengurus Jabatan Program YBR, Mohd Mukhti Abd. Rahman.

Menurut Noh, program itu memfokuskan mereka yang tidak bernasib baik dan kurang mendapat perhatian daripada masyarakat luar.

Dalam pada itu, Mohd Shahrizal berkata, program yang melibatkan 100 peserta itu diharapkan dapat memberi sedikit ilmu serta pengalaman kepada mereka dalam menghayati keberkatan, kepentingan, tuntutan dan cabaran beramal sepanjang Ramadan.

Pengisian program tersebut termasuk gotong-royong menyediakan bubur lambuk, majlis berbuka puasa dan solat Maghrib berjemaah, solat Isyak dan tarawih, moreh, slot motivasi, Gerak Sahur, Qiamullai dan solat subuh berjemaah serta riadah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast